Jelius Ating : Jurulatih kena bersikap adil dan percaya kepada pemain, itu rahsia kejayaan

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pengendali Sabah, Jelius Ating mendedahkan pembentukan skuad dibarisi pemain muda berkualiti dan sikap adil kepada pemain sebagai antara kunci utama kejayaan pasukan itu merangkul trofi Liga Premier musim ini.

Sabah memastikan kejuaraan milik mereka dengan baki dua perlawanan dalam tangan selepas menewaskan Uitm FC 2-1 di Shah Alam pada Selasa, dan Jelius pantas memberikan kredit kepada barisan pemain, pengurusan dan juga penyokong di atas kejayaan penuh makna tersebut.

“Purata usia pemain dalam skuad ini adalah sekitar 25 tahun, kami cuma ada tiga pemain melebihi umur 30 tahun. Apa yang kami lakukan, dalam beberapa tahun kebelakangan, kita fokus kepada pembentukan skuad, bukan membentuk pasukan dan ianya buahkan hasil.

“Di dalam satu pertandingan yang panjang, perlu ada satu skuad. Apabila pemain utama atau pemain import tak bermain, tugas itu dapat digalas oleh pemain yang lain. Walaupun mereka muda, pemain tempatan buktikan kemampuan dan kita membentuk mereka, beri mereka satu motivasi, sentiasa bersikap adil kepada mereka.

“Kerana bagi saya, di dalam skuad Sabah, saya tidak pandang senioriti, tetapi kualiti dan prestasi. Adakah dia pemain baru atau lama, kalau dia pemain baru yang masuk tahun ini sekalipun, kalau dia bermain baik dia tetap mempunyai tempat di dalam kesebelasan utama.

“Jadi, di sini, saya mewujudkan satu persaingan sihat di dalam pasukan dan bukannya hanya bagi tempat kepada pemain lama atau berpengalaman. Saya cuba buktikan pemain muda juga ada kemampuan, dan saya bersikap adil, memberi kepercayaan kepada mereka, inilah apa yang saya lakukan.

“Kalau tengok pada hari ini, ada pemain yang kita tidak pernah kenal, nama yang tidak pernah wujud sebelum ini, ini rahsia kami. Kita bentuk pasukan dibarisi pemain muda, menunjukkan kesabaran dan akhirnya skuad muda ini menyumbang kepada kejayaan ini,” kata Jelius Ating dalam sidang media selepas perlawanan.

Tambahnya lagi, “Saya katakan kepada pemain, dulu kami boleh menang dalam serba kekurangan, hari ini semuanya ada bagi mereka.  Fasiliti, gaji yang besar, nutrisi, pemakanan segalanya disokong, jadi tak mustahil, saya cukup terharu akhirnya selepas 23 tahun sekali lagi trofi Liga Premier menyeberang Laut China Selatan.”

Jelius Ating juga merakamkan penghargaan kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang menurutnya sentiasa melihat keperluan pasukan dan memastikan kebajikan sentiasa terjaga walaupun beroperasi dalam bajet yang terhad.

“Bagi saya bukan kemewahan itu penting, tetapi bagaimana kita mengurus sesebuah pasukan dengan baik. Dari pengurusan, kepada kejurulatihan dan pemain, dan perlu mempunyai kesatuan di dalam pengurusan serta bahagian teknikal.

“Pemangku Presiden (Datuk Peter John) umpamanya datang ke SAFA dalam semuanya tidak terurus, tetapi beliau teguh memberikan sokongan dan merubah iklim bolasepak di sini. Terima kasih kepada kerajaan negeri, kejayaan kita ini adalah hadiah untuk pengurusan, penyokong dan seluruh negeri Sabah.”

 

Foto : Sabah FA

Comments