Luciano Figueroa mahu JDT menang liga tanpa kalah

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Sungguhpun telah mengesahkan kejuaraan Liga Super Malaysia 2019 setelah mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Melaka di Stadium Hang Jebat, semalam, pengurus Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa mahu pasukannya mencipta rekod untuk memenangi liga tanpa kalah musim ini.

Luciano atau lebih dikenali sebagai Lucho melaungkan sasarannya itu dalam sidang media selepas peralawanan, semalam. Beliau berkata, “Kami mempunyai baki empat perlawanan, kami akan cuba menang keempat-empat perlawanan jikalau boleh, kami akan lakukan yang terbaik sepertimana kami lakukan sehingga saat ini.

“Kami mahu menang liga tanpa kalah pada tahun ini, jikalau tidak berjaya, kami telah pun menjadi juara pada musim ini.”

Untuk rekod, skuad dengan julukan Harimau Selatan ini pernah memenangi saingan Liga Super Malaysia tanpa sebarang kekalahan pada musim 2016. Ketika itu, pasukan JDT dibimbing oleh Mario Gomez.

Musim tersebut, pasukan berpengkalan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin itu mencatatkan 18 kemenangan dan 4 keputusan seri daripada 22 perlawanan. Jumlah mata yang terkumpul adalah 58 mata.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Melaka, semalam, beliau kelihatan amat berpuas hati dengan persembahan anak buahnya. Dan Lucho mengucapkan tahniah atas usaha para pemain JDT.

“Kini, kami adalah juara. Saya gembira, kami semua sangat gembira, saya juga berbangga dengan para pemain saya, mereka bermain dengan hebat, saya ucapkan tahniah kepada mereka.” katanya.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Comments