Yee Fatt yakin City Boys masih ada peluang kekal di Liga Super

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt pastinya antara jurulatih yang kini berada dalam tekanan.

Selepas kekalahan 1-3 kepada Terengganu FC, semalam tekanan itu pastinya meningkat. Menurut pengendali City Boys itu, kekalahan semalam mengecewakannya tetapi tetap merasakan Kuala Lumpur masih mempunyai peluang untuk kekal di Liga Super.

“Kami sedar keadaan agak rumit untuk kami. Tinggal hanya empat perlawanan lagi dan tidak banyak mata yang tinggal. Kami masih ada peluang, kami akan cuba sebaiknya untuk mengekalkan pasukan di Liga Super.

“Kalau melihat pada perlawanan tadi (semalam), ianya tidak banyak memberi kesan kerana pasukan dilihat bergerak dengan lancar. Cuma kami membuat kesilapan menyebabkan mereka menjaringkan gol kedua. Selepas itu kami cuba untuk mencari gol penyamaan membuatkan perlawanan menjadi terbuka dan gol ketiga menamatkan peluang kami,” kata Yee Fatt selepas perlawanan.

Dalam perlawanan di Kuala Terengganu itu, Chong Yee Fatt membuat satu keputusan mengejutkan apabila merehatkan penyerang utama Kuala Lumpur Guilherme De Paula dan meletakkan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin sebagai penyerang utama.

“Saya tidak dapat menurunkan De Paula kerana dia merasa sedikit keletihan jadi kami terpaksa merehatkannya. Dia tidak merasa terlalu bagus.”

Kuala Lumpur selepas ini akan berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur pada 6 Julai nanti.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

Comments