Nafuzi gembira pemain tempatan tunjuk aksi baik berdepan Kuala Lumpur

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketua jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mohd Zain ternyata gembira dengan persembahan pemain tempatan pasukannya apabila mereka terpaksa beraksi dengan hanya tiga pemain import dalam perlawanan berdepan Kuala Lumpur di Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu FC berjaya mencatat kemenangan 3-1 dan salah seorang pemain pertahanan tempatan yang diberi kepercayaan iaitu Muhammad Faudzi berjaya menjaringkan gol kedua Terengganu yang membantu mereka mengaut tiga mata.

“Saya percaya dengan pemain yang saya ada dan saya yakin dengan kualiti yang mereka ada. Memang kami terasa dengan ketiadaan pemain pertahanan dan pasukan lawan mempunyai pemain import di bahagian serangan. Untuk pemain tempatan menentang pemain import mungkin sedikit sukar, tetapi bagi saya ini adalah peluang untuk pemain tempatan membuktikan bakat mereka. Sebagai contoh malam ini, Muhammad diberikan peluang pada malam ini dan dia membuktikan kualitinya sehingga dapat menjaringkan gol. Saya gembira kepercayaan yang saya beri dihadiahkan dengan kemenangan,” kata Nafuzi selepas perlawanan semalam.

Nafuzi juga ternyata gembira dapat kembali mencatat kemenangan biarpun tanpa beberapa tonggak utama perlawanan. Selepas ini, Terengganu FC akan berkunjung ke Shah Alam bagi berdepan PKNS FC.

“Setiap pasukan ada kelemahan dan saya tau kelemahan pasukan saya. Apa yang kita perlu lakukan adalah memperbaiki kelemahan dari masa ke semasa. Setiap perlawanan akan kami lakukan analisis dan perbaiki. Dalam jangka masa yang singkat sejak saya mengendalikan pasukan ini, mungkin saya tidak mempunyai banyak masa untuk lakukan semua. Tetapi setakat ini saya berpuas hati kerana sepanjang lima perlawanan saya tidak dapat menurunkan kesebelasan utama. Hampir setiap perlawanan pasti ada pemain yang tercedera atau diberikan penggantungan. Ini cabaran untuk saya dan ini masih proses untuk saya belajar. Perkara seperti ini yang akan memberi pengajaran untuk saya.”

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

Comments