‘Asal kalah jer rasuah, jual game, jangan suka hati buat andaian’

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pengurus Terengganu FC Ahmad Shahrizal Yahaya kecewa dengan tindakan segelintir penyokong yang mengaitkan dua kekalahan besar pasukan itu di tangan Pahang dalam saingan Piala FA dan kemudiannya PJ City dalam aksi Liga Super kepada unsur jual perlawanan.

Terengganu FC yang menang 2-1 ke atas Pahang di Kuala Terengganu, tewas 0-4 di Kuantan dalam aksi suku akhir sekaligus tersingkir dengan agregat 3-5 dan beberapa hari selepas itu mereka mensesiakan kelebihan 3-0 ke atas PJ City untuk kecundang 3-5 di laman sendiri, sekaligus membawa kepada peletakan jawatan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Menurut Ahmad Shahrizal, “Kita faham kekecewaan penyokong, mereka bersuara kerana sayangkan pasukan tetapi jangan lempar tuduhan keterlaluan. Ia (jual perlawanan) persepsi yang tidak berasas kerana pasukan tiada sebarang masalah dalam pembayaran gaji. Kalah besar punya pasal pelbagai spekulasi kedengaran. Janganlah asal kalah jer, terus kaitkan dengan rasuah. Kita kena belajar terima kekalahan.

“Barcelona tewas 4-0 selepas menang 3-0 aksi pertama, adakah ia ada unsur jual perlawanan? Ajax mendahului 2-0 di separuh masa pertama dan tewas 3-2 di penghujung perlawanan, adakah mereka jual perlawanan. Memang semua kecewa dengan kekalahan, tetapi kami percaya pemain-pemain Terengganu FC tidak terlibat dengan unsur sebegitu.”

Berkongsi pendapat yang sama, Setiausaha Agung Felda United, Affizal Abu Othman setelah pasukan itu yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala FA turut dipalit dengan dakwaan sama berikutan kekalahan besar 0-6 di tangan Melaka United baru-baru ini.

“Kami (pengurusan) tidak sedikitpun fikir pasal kemungkinan jual perlawanan ke apa ke, kerana kami tahu kekangan utama skuad ketika ini adalah kecederaan dan ketiadaan pemain-pemain utama. Seperti yang jurulatih beritahu, kita tidak dapat turunkan barisan terbaik dalam setiap perlawanan dan ditambah ketika lawan Melaka, mereka bermain dengan sangat baik manakala pemain muda kita jelas kurang pengalaman.

“Lagipun gaji dan bonus dibayar tepat pada waktunya jadi saya fikir usahlah wujudkan tanggapan sebegitu. Jika pihak yang mendakwa sedemikian ada bukti, buat laporan, kita membenarkan pemain-pemain untuk disiasat. Tetapi saya tegaskan, pengurusan Felda United percaya pemain-pemain kami bersih dan bebas dari gejala tidak bermoral itu.”

Sebagai rekod, keputusan seri menentang Terengganu 8FC pada Sabtu menyaksikan Felda United mengharungi tujuh perlawanan tanpa kemenangan dan kekal menghuni tangga tercorot dengan sembilan mata manakala Terengganu yang mengharungi empat perlawanan tanpa menang pula menghuni tangga kelapan.

 

Foto : Terengganu Football Club

Comments