Felda United perlu keluar daripada zon penyingkiran – Nidzam Jamil

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pengendali Felda United, Nidzam Jamil gembira dengan ‘comeback’ penyamaan yang dilakukan oleh anak buahnya ketika menentang Terengganu Football Club (TFC) seterusnya membolehkan mereka mencuri satu mata dalam aksi di Jengka, semalam.

Bagaimanapun, beliau mengajak anak buahnya untuk melihat kepada realiti pasukan di mana mereka masih terperosok di dasar Liga Super Malaysia dengan sekadar mengumpul 9 mata daripada 14 perlawanan liga.

“Sangat bagus untuk melakukan ‘comeback’ selepas ketinggalan. Saya sering percaya bahawa pemain-pemain Felda United mempunyai karakter. Terserah kepada kita samada mahu mencapai potensi diri dan karakter tersebut ataupun tidak.

“Saya sangat gembira dengan (persembahan) pasukan pada malam ini, terutamanya pemain muda iaitu Faiz Mazlan, Zahril Azri dan Azim Rahim. Saya suka cara mereka menghadapi tekanan. Mereka tampil dengan permainan yang matang.

“Kita masih di dasar liga, kita masih di bawah, kita perlu dapatkan mata dalam pertemuan menentang Pahang dan tidak boleh tercicir mata lagi dalam setiap perlawanan selepas ini. Satu mata lebih baik daripada tiada mata. Namun, kita kena keluar daripada zon (penyingkiran) ini.” katanya selepas daripada perlawanan pada malam tadi.

Untuk perlawanan seterusnya, Felda United akan melakukan kunjungan ke Stadium Darul Makmur, Kuantan bagi aksi ke-15 liga yang dijadualkan pada sabtu hadapan. Nidzam bagaikan mendapat nafas baharu menjelang aksi tersebut apabila beberapa pemainnya yang mendapat kecederaan telah pulih sepenuhnya.

Hal ini mencerahkan peluangnya untuk mengemudi skuad The Fighters keluar daripada zon penyingkiran seterusnya menyelamatkan Felda United daripada terjerumus kembali ke saingan Liga Premier, pada musim hadapan.

“Saya gembira Jasazrin telah pulih, kita pula ada seminggu masa rehat dan (Kei) Ikeda dapat diberikan ‘rest’ kerana sebelum ini menghadapi jadual perlawanan yang padat. (Khairul) Amri juga telah pulih tetapi saya perlu lihat keadaannya pada hari isnin. Jika semua ada, skuad kita lebih besar daripada sebelum ini dan dapat keluar daripada zon penyingkiran dengan mereka semua.” ujarnya.

Setakat ini, hanya seorang sahaja pemain yang belum pulih daripada kecederaan iaitu Danial Amier menurut makluman daripada Nidzam Jamil.

Foto: MFL

Comments