Nafuzi gembira peningkatan corak permainan TFC di Jengka

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih sementara Terengganu Football Club (TFC), Mohd Nafuzi Muhammad Zain gembira dengan peningkatan yang ditampilkan oleh pemain-pemain TFC semasa menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, semalam.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang yang ditandatangani daripada pasukan Ultimate FC, Ahmad Nabil Latpi sekali lagi menjaringkan gol buat pasukan TFC. Bagaimanapun, Felda United tidak mudah mengalah dan terus memberikan saingan sehingga berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi Kei Ikeda pada minit ke-88.

Sungguhpun sedikit kekecewaan terbit di muka Nafuzi Zain kerana gagal membawa pulang tiga mata penuh ke Kuala Terengganu, beliau cukup berpuas hati dengan peningkatan corak permainan anak buahnya berbanding ketika menentang PJ City FC dan Pahang dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Dari segi keseluruhan permainan, saya berpuas hati kerana kita mencatatkan peningkatan berbanding dua perlawanan yang kita tewas sebelum ini. Kita pegang penguasaan bola, mengawal permainan dan mencipta peluang.

“Felda juga berbahaya semasa melakukan serangan balas dan mereka juga mencipta peluang, kita juga leka dan akhirnya dihukum.

“Setakat ini saya gembira kerana kita tidak mencatatkan kekalahan lebih-lebih lagi sebelum ini kita tewas 5-3 dan 4-0.” katanya selepas daripada perlawanan.

Kedudukan seri itu meletakkan TFC di tangga ke-8 Liga Super Malaysia dengan kutipan 17 mata. Selain itu, Perak dan juga PJ City FC turut mengumpul jumlah mata yang sama namun berada di kedudukan ke-6 dan ke-7 liga mengatasi TFC.

Untuk aksi seterusnya, pasukan bimbingan Nafuzi Zain akan menerima kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Pertembungan ke-15 Liga Super itu dijadualkan pada 24 Mei, jumaat hadapan.

Bagi Nafuzi, kekecewaan seri 1-1 menentang Felda United akan dilupakan segera dan mahu menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang Red Giants yang sedang dalam prestasi terbaik terutamanya selepas kemasukan penyerang baharu, Ifedayo Olusegun.

“Seterusnya kita akan lakukan persediaan sebelum menentang Selangor. Lihat kembali apa kelemahan, gunakan masa yang ada untuk tingkatkan pasukan.

“Selangor pula sedang dalam prestasi terbaik, pemain import baharu mereka pula berjaya menjaringkan gol. Kami akan tumpukan sepenuh perhatian untuk lakukan persiapan ke arah tersebut.” katanya lagi.

Foto: Terengganu Football Club

Comments