Zainal kecewa pemain lakukan kesilapan sebabkan Melaka pulang hampa

Khairul Nizam Khairul Nizam

Dua kesilapan telah menghampakan Melaka United untuk membawa pulang sebarang mata biarpun mendahului di separuh masa pertama.

Luka Milunovic meneruskan aksi cemerlangnya apabila membantu membuka jaringan pada minit ke-31, tetapi Kedah bangkit di separuh masa kedua menerusi ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-61 dan asakan bertubi-tubi Kedah membuatkan Melaka melakukan kesilapan yang menyebabkan Jang Suk-won menjaringkan gol sendiri pada minit ke-71.

Bagi ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, kesilapan seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

” Walaupun kami banyak bertahan tetapi kami lebih disiplin di separuh masa pertama dan kerana itu kami dapat menjaringkan satu gol dan tidak memberi ruang kepada pemain Kedah. Tetapi di separuh masa kedua, kami nampak ada kelonggaran dan dua kesilapan telah diberi yang dihukum oleh pemain Kedah. Gol kedua, ‘clearance’ yang tidak tepat dan masuk ke gol sendiri.

“Memang ada perbezaan kerana tiga pemain tidak beraksi disebabkan kecederaan dan penggantungan. Tetapi pemain tunjuk permainan yang bagus cuma kami melakukan kesilapan untuk melepaskan dua gol. Ini tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan dan kami perlu lebih kemas lagi terutamanya bila beraksi di tempat lawan.”

Menurut Zainal lagi, dia akan mempersiap pasukan untuk perlawanan mereka yang seterusnya, bertemu Perak di Ipoh pada Sabtu hadapan.

“Selepas ini kami akan berdepan Perak, saya harap semua pemain akan kembali dan akan ada perubahan. Kami akan susun untuk perlawanan akan datang.”

Kredit foto: Malaysia Football League (MFL)

 

Comments