Syed Saddiq patut siasat dulu, bukan terus buat kenyataan

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat kenyataan balas mengenai dakwaan terdapat pemain menyembunyikan status gaji untuk mengelak membayar cukai sepertimana dilaporkan sebuah akhbar tempatan nampaknya menimbulkan rasa kurang senang di kalangan bekas pemain, pemain dan juga persatuan bolasepak.

Bekas pemain kebangsaan Azmil Azali berkata Syed Saddiq sepatutnya menyiasat terlebih dahulu kesahihan perkara itu sebelum membuat kenyataan yang memberikan tanggapan buruk kepada arena bolasepak tanah air.

Benar ataupun tidak dakwaan itu, menurutnya Syed Saddiq sebagai orang nombor satu di Kementerian Sukan, sepatutnya memikirkan inisiatif untuk membantu pemain seperti pengurangan cukai pendapatan, bukannya menuding jari mencari kesalahan pemain tanpa memikirkan cara untuk membantu pemain.

“Jangka hayat pemain tidak lama, tak sampai 55 tahun pun bermain bola sepak, mungkin boleh bagi sedikit diskaun atau pengurangan kepada pemain.

“Memang peraturan tetap peraturan tapi apa salahnya untuk kerajaan memikirkan nasib pemain yang ada di antara mereka menyarung jersi kebangsaan,” katanya yang beraksi bersama Johor dari 1992-2002.

Sementara itu, bekas kapten Perak Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, kerajaan baharu seharusnya mencari jalan membantu pemain dengan melihat semula cukai yang dikenakan ke atas pemain.

“Tak logik akal kalau pemain cuba menipu tidak mahu membayar cukai pendapatan kerana yang menguruskan segala pemotongan cukai adalah pihak pengurusan.

“Kalau betul dakwaan itu, siasat lah dulu dan dakwa pemain berkenaan, bukan sekadar bercakap di media. Lebih baik YB Menteri mencari jalan penyelesaian bantu pemain.

“Cukai yang dikenakan ke atas pemain tinggi mungkin boleh dikurangkan kerana pemain paling lama bermain hanya 10 tahun. Kadang-kadang pemain tenggelam timbul, ada yang beraksi satu dua musim dan musim ketiga cedera dan diketepikan.

“Sama juga dengan jurulatih, nasib juga tidak menentu,” katanya.

Sebagai rekod, sebuah akhbar tempatan mendedahkan bahawa negara kehilangan puluhan jutaan ringgit setahun gara-gara sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemain yang menyembunyikan status gaji mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Malah, ada antara pemain memiliki aset bernilai jutaan ringgit sedangkan maklumat yang diisytiharkan kepada LHDN adalah sebaliknya.

Difahamkan, pemain berstatus bintang yang juga tonggak utama skuad Harimau Malaya hanya mengisytiharkan mereka menerima sekitar RM180,000-RM240,000 semusim yang bersamaan dengan RM15,000-RM20,000 sebulan.

Bagaimanapun, apabila menyemak aset yang dimiliki pemain-pemain bintang berkenaan, ada antara mereka mempunyai rumah dan kereta mewah bernilai jutaan ringgit yang sebenarnya tidak mampu dimiliki oleh pemain yang sekadar meraih pendapat seperti yang diisytiharkan itu.

Dalam pada itu, Datuk Jamal Nasir Ismail yang pernah menyarung jersi kebangsaan pada era 70-an dan menjadi tonggak skuad yang mara ke Sukan Olimpik Moscow 1980 pula meminta Syed Saddiq supaya tidak terlalu cepat buat kesimpulan.

“Kalau betul arahkan LHDN buat tindakan. Kalau pemain tipu kontrak, jika berlaku sebarang masalah mereka tidak boleh buat tuntutan apa-apa jika tiada dalam kontrak,” katanya sambil mengingatkan Syed Saddiq supaya menyediakan blueprint sukan negara daripada hanya sibuk ‘bersembang’.

Menurutnya, dalam tempoh kira-kira setahun Syed Saddiq memegang portfolio itu, masih belum menampakkan sumbangan besar terhadap peningkatan sukan tanah air termasuk bola sepak.

“Pada saya tak nampak apa-apa sumbangan lagi beliau sebagai menteri, kalau dalam bola sepak, adalah beliau tengok Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari di Gambang, selain itu tak ada apa pun.

“Sebagai menteri yang muda, beliau sepatutnya bersemangat dan agresif. Jangan pandai cakap saja tapi tiada tindakan.

“Sepatutnya beliau perlu memikirkan cara untuk bantu semua sukan termasuk bola sepak. Beliau boleh maklumkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk meminta syarikat GLC menyumbang sebagai contoh RM10 juta, kalau ada 10 syarikat sudah ada RM100 juta.

“Jadi duit tajaan ini boleh disumbangkan kepada semua sukan mengikut keutamaan termasuk bola sepak. Kita tahu yang kebanyakan persatuan sukan sukar untuk mendapatkan tajaan, malah takkan selamanya nak bergantung dengan duit kerajaan.

“Untuk dapatkan sumbangan syarikat GLC ini, Syed Saddiq kena buat blueprint untuk meyakinkan kerjasama dengan syarikat berkenaan, bukan sibuk bercakap hal-hal lain,” katanya.

 

Foto : StadiumAstro

Comments