Lee Tuck terkejut prestasi TFC dianggap merosot hanya kerana tewas dua kali dalam tujuh aksi terakhir

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Bintang tengah Terengganu, Lee Tuck mengakui masih sedih dan terkejut dengan keputusan pengendali Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan selepas kekalahan 3-5 kepada PJ City, tempoh hari.

Menurutnya, meskipun Irfan Bakti dengan rela hati undur diri atas rasa tanggungjawab, dia dapat merasakan ia sebenarnya didorong oleh desakan hebat oleh penyokong yang mahu pengendali berpengalaman itu melepaskan jawatan berikutan prestasi semasa pasukan.

“Setiap pasukan ada naik turun, ada mengalami kekalahan dan tiada pasukan sempurna. Kekalahan kepada PJ City dan sebelum itu kekalahan besar kepada Pahang menampakkan seolah pasukan ini melalui prestasi sangat buruk, sedangkan hakikatnya bukan begitu. Kita menang empat kali, seri sekali  dan tewas dua kali dalam tujuh aksi terakhir, anda rasa ianya prestasi buruk?

“Saya akui kami bermain teruk dalam dua aksi terakhir itu (Pahang dan PJ City), kami hilang fokus dan melepaskan gol-gol mudah dalam masa yang begitu pantas tetapi tidak wajar jika ada beranggapan Irfan dianggap sebagai punca, ketika mendahului 3-0 mungkin semua cakap beliau adalah jurulatih yang bagus, tetapi bila kena lima ia menjadi sebaliknya. Ia adalah kelekaan kami dan semua perlu bertanggungjawab untuk memulihkan prestasi pasukan,” kata Lee Tuck.

“Memang sedih dan mengecewakan untuk kehilangan seorang guru yang begitu berkaliber, dia tidak sepatutnya berundur tetapi kami terima walaupun ianya pahit. Saya harap penyokong akan dapat menghargai setiap impak positif yang dibawanya sepanjang membimbing pasukan ini.

“Beliau telah membawa pasukan ini kembali ke Liga Super musim lalu, dan bagi saya secara peribadi sepanjang hampir dua tahun mendapat tunjuk ajarnya, beliau berjaya melaksanakan tugas yang berkesan dan menakjubkan ketika membimbing TFC sehingga kami layak ke final Piala Malaysia musim lalu, saya begitu beruntung.

“Saya akan merindui teguran dan harapkan yang terbaik untuknya di masa akan datang,” tambah Lee Tuck lagi.

Pemain kelahiran Hallifax itu berjanji kesilapan ketika menentang PJ City tidak lagi akan berulang apabila sang penyu turun menentang Felda United di Jengka, malam ini.

Comments