“Inilah keberkatan bulan Ramadhan” – Safee Sali

Khairul Nizam Khairul Nizam

Rezeki di bulan Ramadhan datang dalam pelbagai cara.

Salah satunya adalah menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan yang cukup penting bagi pasukan.

Itulah yang dilakukan oleh hero Petaling Jaya City, Safee Sali apabila jaringannya pada minit ke-90 memastikan pasukannya memungut tiga mata penuh dalam perlawanan yang mungkin boleh menentukan masa depan PJ City dan pasukan lawan mereka, Kuala Lumpur.

“Mungkin ini adalah keberkatan dalam bulan Ramadhan. Kami telah berkerja keras dalam latihan untuk memperbaiki kedudukan liga. Memang Kuala Lumpur memberikan saingan daripada awal permainan dan memperlahankan rentak permainan kami tetapi kami terus mencuba dan dapat memungut tiga mata.

“Memang semua pemain dan jurulatih PJ City memberikan fokus kepada pasukan. Saya rasa bertuah kerana berada dalam pasukan yang ingin membuktikan sesuatu dalam Liga Super pada tahun pertama. Saya rasa semua berkerja keras dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua barisan kejurulatihan dan saya sendiri berusaha keras untuk mendapatkan tiga mata penting,” kata Safee selepas perlawanan.

Kemenangan ke atas Kuala Lumpur ini menjadi kemenangan ketiga berturut PJ City selepas menundukkan Pahang 2-0 dan Terengganu FC 5-3 dalam dua perlawanan terakhir mereka. Dengan kemenangan itu, PJ City kini mempunyai kelebihan tiga mata daripada Kuala Lumpur yang berada di zon penyingkiran. Selepas ini PJ City akan berangkat 11.4 km dari stadium mereka untuk berdepan PKNS FC di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu depan.

 

Kredit foto: Petaling Jaya City FC

Comments