Lima Perkara: Safee Sali dulu main KL, sekarang bantu tewaskan KL

Khairul Nizam Khairul Nizam

Perlawanan penting untuk Petaling Jaya City dan Kuala Lumpur bagi misi kekal di Liga Super. Kedua-dua pasukan berada dalam motivasi tinggi selepas mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir mereka.

Perlawanan ini nampak seperti bakal berakhir dengan keputusan seri kerana kedua-dua pasukan sukar menembusi barisan pertahanan. Tetapi Safee Sali memberikan kegembiraan kepada PJ City apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan. Ini Lima Perkara berkenaan perlawanan tadi.

#1 Kuala Lumpur tanpa De Paula

Kuala Lumpur beraksi tanpa kehadiran penyerang utama, Guilherme De Paula dengan Indra Putra nampaknya diberikan tugas untuk merobek gawang PJ City. Mungkin Chong Yee Fatt tahu betapa pentingnya untuk tidak bolos dalam perlawanan ini dan kelebihan fizikal pemain PJ City, dia memilih formasi dengan tiga pertahanan tengah. Ryutaro Karube dan Irfan Zakaria mendapat bantuan Hisyamudin Sha’ari bagi perlawanan ini. Kehadiran Hisyam banyak membantu Irfan dan Ryu untuk lebih ke hadapan dan merancang serangan dari bawah.

 

#2 PJ harap Pedro Henrique Oliveira

Penyerang Timor Leste, Pedro Henrique akan terus menjadi sandaran PJ City sambil dibantu Sergio Paulo Nascimento. Kehadiran Pedro Henrique banyak mengubah taktikal PJ City yang sebelum ini banyak bermain hantaran tinggi. Kelajuan Pedro dan kelincahannya menyelinap di antara pertahanan akan memberi bahaya kepada trio Irfan, Ryu dan Hisyamudin.

 

#3 Separuh masa pertama tanpa gol

Separuh masa pertama tidaklah terlalu hambar tetapi kedua-dua pasukan nampaknya banyak memberi tumpuan dari aspek pertahanan. Tidak banyak percubaan dilakukan daripada kedua-dua pasukan dengan ancaman banyak hadir dari situasi ‘set piece’. Serangan kedua-dua pasukan dipatahkan dengan mudah oleh barisan pertahanan.

 

#4 Safee Sali pemusnah KL

Ketika nampak kedua-dua pasukan akan berpuas hati dengan satu mata, bekas pemain Kuala Lumpur yang memusnahkan harapan mereka. Pada minit ke-90, gabungan kesilapan Hisyamudin dan Faridzuean memberikan tiga mata kepada PJ City. Safee Sali yang mendapat ruang paling kecil berjaya menyungkit bola yang melambung masuk ke dalam gawang Kuala Lumpur.

 

#5 PJ City selamat? KL wajib menang ke atas PKNP

Perlawanan ini bagaikan satu final kecil buat kedua-dua pasukan. Perlawanan yang boleh menentukan siapa kekal dan siapa tersingkir. Kuala Lumpur dan Chong Yee Fatt pastinya kecewa kerana tidak membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata. Kuala Lumpur tidaklah beraksi buruk, tetapi ketiadaan De Paula benar-benar menjejaskan mereka kerana perlawanan seperti ini biasanya De Paula boleh menyinar.

Bagi PJ City, mereka benar-benar membuat kejutan musim ini. Di kala mereka dijangka bergelut di Liga Super, satu demi satu pasukan mereka tewaskan. Mungkin boleh dikatakan mereka sebenarnya sudah terselamat, tetapi K.Devan pasti tahu bahawa ianya belum satu kepastian.

Foto: Malaysian Football League

Comments