Lima Perkara: Jaringan Diogo berikan JDT 11 mata mendahului di puncak Liga Super

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Aksi ke-14 Liga Super Malaysia di antara PKNS FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil tempatnya di Stadium Shah Alam, Selangor.

Skuad Harimau Selatan yang dibimbing oleh Luciano Figueroa berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC menerusi jaringan Safawi Rasid (minit ke-17) sebelum disamakan kedudukan oleh Romel Morales (minit ke-32). Babak kedua, Diogo Luis Santo memastikan tiga mata penuh milik JDT apabila jaringannya menewaskan Tauffiq Ar Rasyid pada minit ke-60.

Berikut adalah lima perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan ini:

#1 ‘High pressing’ oleh PKNS FC

Menghadapi JDT di laman sendiri, PKNS FC dilihat bermain dengan ‘high pressing’ untuk menyaingi pasukan lawan yang menguasai bola sejak awal permainan. Bukan itu sahaja, JDT juga menampilkan persembahan yang lebih berkualiti dengan hantaran-hantaran yang kemas serta mencipta lebih banyak peluang.

Berbalik kepada ‘high pressing’ dilakukan oleh anak buah K. Rajagobal, mereka cuba memberikan tekanan awal kepada JDT di kawasan JDT sendiri. Malah, gandingan dua pemain tengah defensif mereka, Akram Mahinan dan K. Gurusamy turut naik tinggi untuk memberikan tekanan. ‘High pressing’ ini merencatkan sedikit corak permainan JDT sehingga memaksa mereka bermain dengan ‘long pass’.

 

#2 Ancaman oleh Safawi Rasid

Safawi Rasid menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan PKNS FC pada malam ini. Sejak awal permainan lagi, Safawi yang mengisi posisi sayap kanan memberikan ancaman menerusi lariannya dan percubaan kaki kirinya. Gol pendahuluan JDT juga berpunca daripadanya di mana larian Safawi berjaya mengalahkan dua pemain PKNS FC sebelum merembat menewaskan Tauffiq Ar Rasyid pada minit ke-17.

Tidak berhenti disitu sahaja, beliau terus menerus memberikan ancaman termasuk percubaan dari kawasan ‘half-space’ dan juga luar kotak penalti.

 

#3 Debut Tauffiq Ar Rasyid saingan Liga Super

Seringkali yang mengisi posisi penjaga gol adalah Zharif Irfan. Bagaimanapun, malam ini, menentang JDT, K. Rajagobal memberikan peluang kepada pemain berusia 23 tahun, Tauffiq Ar Rasyid melakukan debut Liga Super bersama pasukan PKNS FC.

Secara keseluruhannya, persembahan sulung oleh Tauffiq boleh dipuji. Beliau menentang juara bertahan yang bahagian serangannya terdiri daripada 3 pemain serangan paling berkualiti dalam saingan tempatan. Gonzalo Cabrera dan Diogo Santo merupakan dua penjaring terbanyak ketika ini, dan Safawi pula antara penyerang tempatan terbaik. Beberapa percubaan tepat berbahaya dapat diselamatkan oleh Tauffiq dan memastikan PKNS FC tidak bolos dengan jaringan yang lebih besar.

 

#4 JDT pasukan yang lebih baik

Walaupun menghadapi PKNS FC yang menekan mereka di garis tinggi dan juga bermain dengan lebih fizikal, JDT muncul pasukan yang lebih baik berbanding PKNS FC pada malam ini. Ini dapat kita lihat JDT berjaya mengatasi cabaran tersebut dengan menghantar bola secara terus ke bahagian sayap samada kepada Diogo ataupun Safawi. Kepantasan dan kebolehan mengawal bola dengan baik menjadi aset kepada kedua-dua pemain ini untuk melepasi pertahanan PKNS FC dan membuat percubaan ke arah gawang PKNS FC.

Begitu juga di hadapan gawang, mereka tahu bagaimana caranya untuk memecah kebuntuan walaupun PKNS FC ‘berkampung’ di hadapan gawang sendiri untuk mengelakkan bolos lebih banyak jaringan.

 

#5 JDT mendahului 11 mata di puncak

Kemenangan ini memberikan JDT tiga mata penuh. Selain itu, tiga mata tersebut memberikan skuad Harimau Selatan mendahului 11 mata di puncak Liga Super sekurang-kurangnya selama 48 jam sebelum menantikan keputusan di antara Pahang dan Perak pada ahad ini. Selain itu, kedua-dua pemain JDT, Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo memimpin carta penjaring terbanyak  Liga Super dengan 8 jaringan masing-masing. Bagi PKNS FC, kekalahan ini meletakkan mereka di kedudukan ke-8 liga dan mungkin jatuh satu lagi anak tangga jika Terengganu FC mencatatkan kemenangan pada hari esok.

Foto: Malaysian Football League

Comments