Terengganu FC tiada masalah bertemu Felda United

Khairul Nizam Khairul Nizam

Tiada masalah biarpun tanpa Irfan.

Mungkin ramai menyangka persiapan Terengganu FC menjelang perlawanan bertemu Felda United esok akan terganggu ekoran perletakan jawatan Irfan Bakti, tetapi tidak bagi pemangku ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain.

Menurut Nafuzi, persiapan mereka tidak terganggu kerana pasukan mereka ini sudah dibentuk lama dan dia sendiri tahu apa yang diperlukan untuk mempersiap pasukan.

“Sebagai jurulatih yang pernah bersama dengan Irfan, saya sentiasa bersedia untuk membimbing pasukan melakukan yang terbaik dan akan meneruskan kesinambungan apa yang sudah dirancang beliau bagi mengembalikan semula kepercayaan peminat terhadap pasukan.

“Bagi kami pemain, tidak ada masalah bertemu FELDA malam esok, sebab pasukan yang dibentuk inipun hasil kombinasi dengan Irfan sejak dua tahun lalu, jadi saya tahu cara beliau macam mana dan beliau pun tahu cara saya macam mana.

“Perkara yang elok saya akan teruskan dan bagi saya Irfan sudah memberikan yang terbaik kepada pasukan sebelum ini, cuma sekarang keputusan tidak memihak kepada kita, dalam pasukan tak ada terjejas apa-apapun,” kata Nafuzi seperti dilaporkan Berita Harian.

Terengganu FC mengumumkan perletakan jawatan Irfan Bakti pada hari Rabu lalu selepas kekalahan mengejutkan skuad penyu kepada Petaling Jaya City di laman sendiri. Dalam perlawanan itu, TFC mendahului 3-0 di separuh masa pertama tetapi tewas mengejutkan 3-5 selepas PJ City membuat kebangkitan di separuh masa kedua.

 

Kredit foto: Terengganu FC

Comments