Kritikan terhadap MFL boleh jejaskan periuk nasi pemain

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kritikan berterusan terhadap Liga Malaysia dan Malaysia Football League (MFL), bukan sahaja akan memberikan imej buruk kepada landskap bolasepak tanah air secara keseluruhan, tetapi turut berpotensi menjejaskan periuk nasi pemain.

Ketua pasukan Pahang, Matthew Davies mengakui bimbang dengan situasi itu justeru dia berharap semua pihak lebih terbuka untuk terus menyokong perjalanan Liga Malaysia dengan tidak terlalu fokus kepada isu negatif yang boleh menjejaskan minat penaja melabur di dalam Liga Malaysia.

“Kita boleh melihat daripada perspektif kami sebagai pemain yang turut bimbang sekiranya terlalu banyak kritikan negatif yang tidak membina terhadap MFL kerana masa depan kami juga bergantung kepada perjalanan liga bola sepak Malaysia.

“Seandainya lebih banyak pihak gemar menjadikan imej MFL semakin buruk, siapa lagi yang akan berminat untuk melabur ke dalam liga bola sepak tempatan dan bagaimana pula dengan nasib pemain-pemain?

“Jadi, saya rasa adalah lebih baik semua pihak dapat memberi sokongan kepada MFL untuk terus berusaha melakukan penambahbaikan demi kebaikan pasukan dan juga kami sebagai pemain,” kata pemain kebangsaan itu.

Turut senada dengan Matthew Davies adalah pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak yang menyifatkan MFL sudah melakukan banyak penambahbaikan demi kelancaran dan kemeriahan Liga Malaysia.

“Bagi saya, kita sendiri perlulah memberi peluang kepada MFL untuk mereka terus menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan saya sendiri sebagai pemain tetap akan terus berada di belakang.

“Dan MFL juga tidak boleh putus asa selain perlulah ambil peluang ini untuk tetap jalankan tugas terbaik tidak kira walau seteruk mana kecaman diterima”, katanya.

Comments