Blueprint 50 tahun MFL dapat sokongan menggalakkan

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Beberapa rakan kongsi Liga Malaysia memberikan sokongan padu kepada Blueprint 50 tahun yang direncanakan Malaysian Football League (MFL) sebagai penanda aras membawa liga bola sepak negara ke arah lebih berdaya saing.

Antaranya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melalui Setiausaha Eksekutifnya, Shahrul Samsudin, yang memuji langkah dibuat oleh MFL kerana seiring dengan pendekatan negara-negara maju yang mempunyai perancangan jangka panjang dalam meningkatkan mutu bola sepak daripada segenap aspek.

Malah beliau menuntut semua pemegang taruh liga berjalan seiringan serta mampu mematuhi setiap pelan yang bakal dilakukan oleh MFL dalam blueprint 50 tahun.

“Blueprint 50 tahun ini satu pendekatan yang bagus kerana akan nampak ke mana hala tuju liga kita akan pergi biarpun mungkin kebanyakan peminat kita nampak benda ini masih baharu.

“Sebenarnya kalau diikutkan di negara-negara maju seperti Jepun sudah ada perancangan dan pendekatan sebegini sememangnya kena ada buat masa sekarang.

“Dalam etika bola sepak profesional sewajibnya benda ini kena diikuti (blueprint 50 tahun) dan jadi pegangan kepada semua pemegang taruh selepas dilancarkan kelak jika mahu ada penyelarasan dalam memajukan bola sepak negara dan liga,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Felda United Football Club(FUFC), Afizal Abu Othman turut senada dengan KFA apabila mahu melihat kemajuan bola sepak negara di masa depan bukan sahaja dinikmati pasukan-pasukan utama liga tetapi turut melibatkan pembangunan di peringkat bawahan.

Tambahnya, MFL perlu sentiasa bergerak ke hadapan dalam soal pembangunan tanpa mempedulikan kritikan negatif serta tanggapan MFL tiada visi dan misi terhadap Liga Malaysia.

“Saya memang harapkan Blueprint 50 tahun ini akan tujukan kepada pembangunan pasukan di semua peringkat serta menyemai nilai profesionalisme kepada penganjuran liga malaysia.

“Saya tengok pada langkah permulaan sekarang sudah begitu bagus apabila melihat penyertaan pasukan di liga-liga bawahan seperti M3, M4 dan kita kena menggalakkan pasukan banyak bertanding supaya program pembangunan akan lebih banyak berlaku di peringkat bawahan, ” katanya.

Mereka ditemui selepas mesyuarat penyelarasan pasukan yang akan beraksi di peringkat separuh akhir Shopee Piala FA, di ibu pejabat MFL hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, semalam mengesahkan pelan strategik 50 tahun MFL merupakan perancangan jangka panjang kepada semua rakan kongsi liga walaupun dengan apa jua yang berlaku terhadap kepimpinan MFL di masa depan.

Blueprint 50 tahun ini dijangka akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidlifitri berikutan majlis asal yang sepatutnya berlangsung bulan lalu, ditangguhkan.

 

Foto : MFL

Comments