Felda United nafi tipu dokumentasi kewangan kepada MFL

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kelab Bolasepak Felda United  menafikan dakwaan bahawa mereka menipu dalam dokumentasi kewangan untuk menyelamatkan diri daripada dikenakan hukuman oleh Malaysia Football League (MFL).

Laporan Foxsports pada Rabu mendedahkan dakwaan bekas pemain Felda United bahawa pasukan itu tidak mencarum kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun potongan gaji sudah dibuat, sekaligus membawa kepada kemungkinan berlakunya penipuan dalam dokumen kewangan yang dihantar kepada MFL.

Begitupun Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman menjelaskan, kelab itu sudahpun mengisytiharkan jumlah tunggakan hutang kepada MFL dan separuh daripadanya sudah dijelaskan manakala bakinya bakal diselesaikan menerusi pelan pembayaran.

“Berkaitan dengan isu dokumentasi, memang dokumen yang kita hantar kepada MFL cukup lengkap dan jelas, isu tunggakan yang berlaku pada tahun lepas itu kita akui kita masih ada lagi tunggakan walaupun separuh daripadanya kita sudah selesaikan menerusi deposit yang kita ada dengan FAM.

“Kita sudah menyerahkan bukti pembayaran yang kita sudah buat dan bakinya kita akan selesaikan menerusi pelan pembayaran berdasarkan pendapatan dan sumber kewangan kelab. Ini sudah dikemukakan kepada MFL untuk pertimbangan sebelum ini.

“Dan sekarang ini proses kita, kita sedang rancang untuk struktur semula macam mana cara pembayaran kepada ‘signing fee’, KWSP, LHDN, Perkeso, Insya Allah saya sendiri akan bentangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah Felda United pada minggu hadapan untuk dapat kelulusan jadi kita akan usahakan mengikut perancangan itu.

“Kita rasa ini sangat penting bukan saja untuk menyelesaikan bayaran tapi penting kepada kelab untuk pergi lebih jauh pada masa hadapan seperti pelesenan kelab dan lain-lain.

“Alhamdulilah pada tahun ini walaupun bajet sedikit kepada kelab, kita sudah menguruskan dengan baik prosedur kewangan, pembayaran gaji dan semua pembayaran kepada agensi kerajaan seperti KWSP, LHDN, Perkeso dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bekas pemain itu bahawa pihak Felda United seperti hanya mendiamkan diri untuk menyelesaikan masalah itu, Afizal berkata ia tidak seperti yang difikirkan.

“Kita memiliki bukti pembayaran dan perancangan untuk selesaikan semua baki hutang. Semua perancangan itu kita sudah buat mungkin ada sedikit kelewatan kerana kita jangka dana dapat masuk dengan tepat pada masa tetapkan untuk kita jelaskan mengikut perancangan kita, tapi ada sedikit rombakan barisan Ahli Lembaga Pengarah, saya juga baru menjawat jawatan ini selama dua bulan, jadi kami sedang usaha sebaik mungkin.

“Saya sudah menjelaskan kepada pemain berkenaan dan mungkin ada pemain lain juga ingin mendapatkan maklumat terkini. Selepas selesai mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah minggu depan, kita akan panggil semua yang terlibat untuk bagi penjelasan,” katanya.

Comments