Melaka United akan dapatkan pemain baru minggu depan

Khairul Nizam Khairul Nizam

Biarpun Melaka United menang besar dalam perlawanan mereka ke atas Felda United semalam di Stadium Hang Jebat, Zainal Abidin Hassan menyatakan bahawa tetap akan ada pemain-pemain baru yang akan dibawa masuk bagi memperkuat pasukannya.

Melaka sebelum ini kehilangan pemain tengah mereka, Darko Markovic kepada Kuala Lumpur dan membawa masuk pemain Serbia yang sebelum ini dipinjamkan oleh mereka kepada Sabah, Luka Milunovic.

“Kami memang ada beberapa cadangan. Akan ada perubahan dan kami sedang berurusan. Jika semuanya berjalan lancar, minggu depan Melaka akan mempunyai pemain baru di beberapa posisi terutamanya posisi yang ditinggalkan Darko. Bagi posisi lain kami sedang meneliti bersama pihak pengurusan,” kata ketua jurulatih Melaka United itu selepas perlawanan.

Luka menjadi pemusnah Felda dalam perlawanan pada malam semalam. Pemain tengah itu bergandingan baik bersama Safiq Rahim dan berjaya menjaringkan hatrik dalam penampilan pertamanya bersama Melaka. Luka yang sebelum ini menjalani pra-musim bersama Melaka sebelum dipinjamkan ke Sabah dapat menyesuaikan diri dengan pasukan dengan begitu hebat.

“Kami menjalani pra-musim enam minggu sebelum ini bersama Luka (Milunovic). Ini kelebihan buat kami kerana kami tidak perlu terlalu menukar pasukan untuk menyesuaikan dia bersama pasukan. Dia sudah bersama kami dalam lima-enam minggu. Dia sudah mengenali pemain-pemain, jadi ini yang memudahkan kerja kami dan kerana itu Luka sangat berkesan malam ini.”

Melaka United selepas ini akan berkunjung ke Stadium Darul Aman bagi berdepan Kedah hari Sabtu ini sebelum menutup aksi di bulan Ramadhan dengan berkunjung ke Ipoh untuk berdepan Perak pada 25 Mei.

 

Kredit foto: Malaysia Football League (MFL)

Comments