‘Kami bermain sangat-sangat teruk’ – Nidzam Jamil

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, ternyata kecewa dengan kekalahan besar pasukannya kepada Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, semalam. Kekalahan 6-0 itu membuatkan pasukannya kekal di tangga terbawah liga dan baginya tiada alasan yang boleh diberi untuk persembahan buruk mereka.

“Kita bermain teruk. Sangat-sangat teruk. Kami tidak boleh beri alasan tidak mempunyai semua pemain dan tidak cukup rehat kerana beraksi tiga hari lalu dalam kejohanan seperti ini. Kami sudah jangka perkara ini tetapi jangkaan kami mungkin tidak tepat. Ada separuh daripada pemain dengan minit permainan yang sangat banyak, jadi bila kami tidak cukup pemain ianya akan mendatangkan masalah. Saya yakin ada beberapa pemain saya yang sudah mulai merasa keletihan dan cedera. Tapi secara keseluruhan kami bermain dengan teruk.”

Dalam perlawanan itu, Felda United tidak dapat menurunkan beberapa pemain tunggak mereka ekoran kecederaan. Nidzam mengakui itu sangat menyukarkan mereka kerana beberapa pemain itu juga sudah terlepas beberapa perlawanan dan kini mereka sedang berusaha mempercepat proses pemulihan pemain-pemain itu.

“Kami tidak boleh cakap mengenai separuh akhir kerana ianya masih jauh lagi. Saya rasa kami perlu mengubah beberapa perkara. Kami tidak dapat melakukan banyak dalam masa tiga hari. Selepas ini kami akan berdepan Terengganu dan Pahang, dua pasukan gergasi. Kami tidak boleh berharap pasukan lawan tidak bermain baik dalam semua perlawanan di Liga Super. Kalau tidak ianya akan jadi begini.

“Saya masih ingat situasi yang sama tahun lalu dalam aksi Piala Malaysia kami tewas 6-2 kepada Melaka. Tahun ini masih berlaku masalah yang sama cuma di bawah saya. Sudah tentu saya tidak begitu gembira tetapi kami perlu laluinya dan bangkit segera. Jika tidak, masalah yang sama akan berlaku. Kami akan cuba membuat yang terbaik untuk mempercepat proses pemulihan beberapa pemain kerana sukar bermain tanpa Jasazrin, Hadin, Daniel, Khairul Amri, Masaki Watanabe. Sangat-sangat susah. Tetapi saya gembira kami dapat beri peluang kepada beberapa pemain akademi untuk beraksi tetapi simpati juga kerana mereka merasai tewas 6-0.”

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments