Jangan harapkan Ifedayo sahaja jaringkan gol – B. Satiananthan

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Debut penyerang baharu Selangor, Ifedayo Olesegun bermula cemerlang dengan mencipta hatrik seterusnya menewaskan Kedah 3-1 dalam saingan Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Shah Alam, semalam.

Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan gembira dengan persembahan dan sumbangan diberikan oleh penyerang kelahiran Nigeria itu namun menuntut komitmen yang lebih daripada pemain yang baru sahaja ditandatangani awal Mei lalu. Pada masa yang sama, pengendali yang turut dikenali sebagai Coach Satia turut menuntut komitmen pemain-pemain lain untuk turut memburu jaringan gol.

“Belum permainan terbaiknya lagi, Ifedayo boleh berikan lebih daripada ini terutamanya daripada aspek permainan tanpa bola. Saya nak lihat dia menggunakan tenaganya. Saya suka melihat penyerang bekerja keras ketika tanpa bola.

“Dan jangan harapkan dia (Ifedayo) sahaja, pemain lain juga perlu memberikan sumbangan untuk mendapatkan jaringan.” kata B. Satiananthan dalam sesi sidang media selepas perlawanan.

Mengulas mengenai aksi di atas padang menentang pasukan Kedah, semalam, pengendali Selangor sedikit terkilan apabila beberapa peluang di babak pertama disia-siakan begitu sahaja. Namun pasukan Red Giants berjaya memasuki bilik persalinan dengan kelebihan jaringan 2-0 ketika itu.

Bersambung babak kedua, Kedah dilihat cuba bangkit dengan memperkemaskan kembali permainan mereka. Kemuncaknya, selepas kemasukan dua orang pemain iaitu Fadzrul Danel dan Mohammad Fayyadh yang membolehkan Helang Merah melancarkan serangan ke arah gawang Selangor.   

“babak pertama, banyak peluang yang ada, saya rasa enam atau tujuh peluang namun tidak disudahkan. Jika disudahkan, Kedah mungkin tewas dengan jaringan yang lebih besar.

“Kemasukan pemain bernombor 20 (Fadzrul Denel) membuatkan permainan Kedah berubah.” ulasnya.

Disebalik kemenangan yang dicatatkan, B. Satiananthan tidak berpuas hati dengan tandukan oleh Jonathan Bauman yang menewaskan Farizal Harun pada minit ke-64 seterusnya menyebabkan mereka bolos dalam perlawanan tersebut.

“Apabila kita mendahului 3-0, sepatutnya kita bermain dengan lebih konsisten dan baik.

“Gol itu datang daripada sepakan penjuru, itu yang menjadi masalah seperti yang saya katakan tadi. Yang peliknya, apabila kita mendahului, barisan pertahanan mula menggelabah di belakang dan menyebabkan kita hilang ‘clean sheet’.

“Kita tiada masalah kecergasan, tiada ‘cramp’ dan sebagainya. Saya kira, mereka mula lalai apabila sedang mendahului.” tambahnya lagi.

Foto: Malaysian Football League

Comments