Prestasi TFC merosot, Irfan ambil keputusan letak jawatan

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Kemerosotan prestasi Terengganu Football Club (TFC) terutamanya selepas tewas kepada Pahang 4-0 dan PJ City FC 5-3, membuatkan ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya berkuatkuasa serta merta.

Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil dalam kenyataan media menerusi laman sosial rasmi TFC, malam tadi.

Mengakui keadaan semasa pasukan TFC yang tidak menentu dan konsisiten, Ketua Jurulatih di dalam mesyuarat khas telah memanjangkan permohonan perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih TFC serta merta.

“Pihak pengurusan pasukan juga telah mengambil kira semua aspek dan bersetuju serta menghormati keputusan nekad yang dibuat oleh Haji Irfan Bakti di atas prestasi buruk pasukan.

“Hasrat perletakan jawatan tersebut telah diluahkan dengan kerelaan hati dan hal ini akan dimuktamadkan melalui cara dan prosedur yang betul.” tulis kenyataan tersebut.

Nafuzi Zain. Foto: TFC

Kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali berusia 68 tahun itu akan digantikan dengan penolong ketua jurulatih, Nafuzi Zain selaku ‘caretaker head coach’ ataupun ketua jurulatih sementara sehingga pihak pengurusan TFC mendapat seorang calon yang sesuai bagi menggalas jawatan tersebut kelak.

PBSNT juga mengharapkan Nafuzi dapat menggalas tugas tersebut dengan baik dan memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super serta membawa cabaran dalam saingan Piala Malaysia 2019, kelak.

“pihak pengurusan telah memberi mandat kepada Penolong Ketua Jurulatih Mohamad Nafuzi Zain untuk mengalas tugas-tugas Ketua Jurulatih sementara waktu yang kekosongan sehinggalah PBSNT menemui calon yang bersesuaian bagi meneruskan cabaran 9 perlawanan Liga Super dan saingan Piala Malaysia.” tambah kenyataan tersebut.

Untuk rekod, Irfan Bakti pernah membimbing pasukan Terengganu memenangi Piala FA, naib juara Liga Super dan naib juara Piala Malaysia pada musim 2011 dan layak ke saingan Piala AFC 2012.

Kembalinya beliau ke pangkuan Terengganu buat kali kedua menyaksikan beliau berjaya meraih naib juara Liga Premier 2017 seterusnya mendapatkan promosi saingan Liga Super 2018 dan merangkul naib juara Piala Malaysia 2018.

Foto: Terengganu Football Club

Comments