Lima Perkara: Hatrik Ifedayo Olesegun tumbangkan Kedah di Shah Alam

Saingan Liga Super Malaysia pada malam ini menemukan pasukan di tangga ke-3 dan ke-4 iaitu Kedah dan Selangor di Stadium Shah Alam. Kemenangan berpihak kepada Red Giants dengan keputusan 3-1 hasil jaringan hatrik oleh pemain baharu, Ifedayo Olesegun. Manakala Kedah pula mendapat gol saguhati menerusi Jonathan Bauman.

Berikut adalah lima perkara yang kami dapati daripada pertembungan di antara Selangor dan Kedah:

 

1. Selangor mendominasi babak pertama

Separuh masa pertama milik Selangor. Mereka menyerang kubu Kedah sejak awal permainan lagi. Tambahan pula, gandingan Sandro, Ifedayo, Syazwan Zainon dan Syahmi Safari cukup serasi. Banyak peluang yang dicipta dan percubaan dilakukan oleh keempat-empat pemain ini. Jika tidak disebabkan penyudah yang memberangsangkan, Selangor boleh mendahului lebih daripada dua gol pada babak pertama.

Disebalik dominasi ini adalah gandingan mantap Sarkunan dan Halim di tengah serta Sandro yang cemerlang di posisi ‘attacking midfield’.

 

2. Debut cemerlang Ifedayo Olusegun

Penyerang baru Selangor, Ifedayo Olesegun melakukan debutnya pada malam ini. Dan beliau menampilkan aksi cemerlang. Babak pertama sahaja beliau telah menyumbang dua gol. Dari segi keserasian, tiada masalah buatnya untuk bermain di bahagian serangan bersama-sama Sandro, Syazwan dan Syahmi. Masih awal untuk membuat rumusan beliau akan terus memberikan impak kepada Red Giants sehingga tamat musim, tetapi Ifedayo memulakan persembahan dengan langkah kanan. Memasuki babak kedua, satu gerakan cantik oleh Selangor berjaya mengucarkacirkan pertahan Kedah dan Ifedayo menjaringkan gol ketiga untuk hatrik pertama bersama Red Giants.

 

3. Bahagian tengah Kedah lompong

Satu masalah yang dihadapi oleh Kedah pada malam ini adalah kelompongan bahagian midfield. Dalam formasi 4-5-1, lima pemain yang terdiri daripada Zaquan, Bauman, Farhan, Baddrol dan Amirul gagal beraksi sama sekali. Selain itu, fungsi pemusnah di bahagian midfield untuk memusnahkan gerakan oleh Sandro juga tiada. Ini menyebabkan Selangor bebas melakukan serangan dan berjaya mendapatkan tiga gol.

 

4. Kemasukan Danel dan Fayyadh ubah permainan Kedah

Kemasukan Danel dan Fayyadh pada babak kedua menggantikan Zaquan dan Amirul Hisyam berjaya menyelesaikan masalah midfield Kedah. Mereka berjaya mengawal permainan dan mengatur serangan dan menembusi pertahanan Selangor. Antara lain yang dilihat, Kedah lebih banyak bermain bola hantaran pendek dan rendah dengan adanya dua pemain ini. Hasilnya dua kali bola berjaya singgah di palang dan satu jaringan dihasilkan menerusi Jonathan Bauman hasil sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar. Bagaimanapun, kebangkitan mereka tidak dapat mengispirasikan seri ataupun kemenangan.

 

5. Selangor lonjak ke tangga ke-3

Keputusan akhir, Selangor menang 3-1 ke atas Kedah. Tiga mata diraih anak buah B. Satiananthan pada malam ini dan melonjakkan mereka ke tangga ke-3 liga mengatasi Kedah. Manakala Kedah jatuh ke tangga ke-4.

 

Foto:

Comments