Lima Perkara: Hatrik Luka Milunovic bantu Melaka ‘belasah’ Felda United

Khairul Nizam Khairul Nizam

Menang dan Melaka United akan berada di kelompok teratas. Bagi Felda pula mereka sepatutnya mempunyai motivasi tinggi selepas berjaya mara ke separuh akhir Piala FA pada Sabtu lalu.

Tetapi mungkin keletihan atau Melaka berada di tahap terbaik, Felda bagaikan dilanda taufan di separuh masa pertama apabila melepaskan empat gol. Melaka menunjukkan corak permainan pantas dan menyerang untuk membuatkan barisan pertahanan Felda tidak dapat menarik nafas langsung! Keputusan akhir Melaka United 5-0 Felda United. Ini lima perkara berkenaan perlawanan tadi.

1. Luka Milunovic ganti tempat Markovic

Melaka United menggunakan formasi 4-3-3 dengan Luka Milunovic masuk menggantikan tempat Darko Markovic yang berhijrah ke Kuala Lumpur. Felda United berdepan tugas berat untuk menghalang Anselmo Cassagrande menggunakan kelebihan fizikalnya dan dua pemain ‘lipas kudung’, Patrick Reichelt dan Nazrin Nawi. Shukor Adan kekal menggunakan pengalamannya untuk mengatur pertahanan dan Safiq Rahim memimpin di bahagian tengah.

 

2. Tiada Khairul Amri untuk Felda

Bagi Felda pula, sayang sekali mereka tidak dapat menggunakan khidmat penyerang Singapura, Khairul Amri kerana dia pastinya dapat menggunakan pengalaman dan ketajamannya untuk merobek gawang Melaka. Tetapi Abdul Azim Rahim tidak boleh dipandang rendah kerana kelajuannya juga mampu mengucar-ngacirkan pertahanan Melaka. Seorang lagi pemain Felda, Sadam Hashim juga diharap dapat menunjukkan aksi yang sama seperti ketika menentang Kuala Lumpur untuk menekan Raimi Md. Nor. Ketua pasukan Felda, Thiago Aquino mempunyai tugas berbeza berbanding ketika menentang KL kerana Anselmo Cassagrande memberikan cabaran berbeza berbanding Guilherme De Paula.

 

3. Melaka tekan butang turbo seawal mungkin

Melaka ternyata berbeza berbanding Kuala Lumpur untuk Felda United. Pemain-pemain Felda yang mungkin letih tidak dapat menahan serangan pantas Melaka terutamanya daripada Safiq Rahim, Luka Milunovic, Nazrin Nawi dan Patrick Reichelt. Pertahanan Felda dibuka seluas-luasnya dengan barisan tengah mereka bagaikan mengejar bayang-bayang. Empat gol dijaringkan oleh Melaka di separuh masa pertama dengan Felda langsung tidak dapat menguji Khairul Fahmi Che Mat di gawang Melaka. Jika Felda berharap semua pasukan akan bermain perlahan seperti ketika mereka berdepan KL pada hari Sabtu lalu, mereka silap kerana Melaka terus menekan butang turbo seawal mungkin.

 

4. Tiada peluang untuk Felda bangkit

Mendahului empat gol di separuh masa pertama, Melaka tidak perlu risau di separuh masa kedua. Anak buah Zainal Abidin membenarkan Felda memegang bola yang sekaligus membuka ruang untuk mereka melakukan serangan balas pantas. Safiq Rahim sekali lagi menjadi arkitek buat Melaka apabila berjaya membantu pasukannya menjaringkan dua lagi gol. Luka Milunovic seharusnya berterima kasih kepada Safiq kerana kepintaran pemain tengah itu membantunya mendapatkan hatrik dalam penampilan pertamanya bersama Melaka. Bagi Felda, biarpun sesekali mereka dapat menyerang, tetapi mereka tidak dapat menembusi pertahanan Melaka yang diketuai bekas ketua pasukan mereka yang dapat membaca serangan mereka.

 

5. Felda terperosok di tangga terbawah, Safiq dan Luka bintang Melaka

Kekalahan ini meletakkan Felda terjerumus ke tangga terbawah dan kini mereka juga mencatat perbezaan jaringan yang paling teruk dengan -17. Ini sekaligus menyukarkan misi mereka untuk kekal di Liga Super. Kehilangan pemain-pemain penting seperti Hadin Azman, Jasazrin Jamaluddin dan Masaki Watanabe benar-benar menyukarkan mereka. Serangan pantas Melaka telah memerangkap Felda yang tidak sempat bersedia dan terus membuka pintu untuk bolos lebih banyak.

Bagi Melaka pula, dua pemain penting untuk perlawanan ini adalah Safiq Rahim dan Luka Milunovic. Kehadiran Luka benar-benar membantu Safiq dan Melaka kerana mereka beraksi lebih pantas. Kecederaan Anselmo Cassagrande juga sedikit sebanyak membantu Melaka menyerang lebih tajam dan laju terutamanya dengan Patrick Reichelt dan Nazrin Nawi di bahagian sayap. Melihat aksi Luka malam ini, dia bukanlah pengganti posisi Darko, tapi dia bagaikan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Liridon Krasniqi tetapi versi yang lebih pantas. Kini apa yang perlu dilakukan oleh Zainal Abidin adalah memastikan aksi Melaka konsisten dan berharap ini bukan persembahan satu dalam sejuta.

 

Kredit foto: Melaka United Soccer Association – MUSA

 

Comments