Felda United tipu dokumen kepada MFL?

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Adakah Kelab Bolasepak Felda United menipu dalam dokumentasi kewangan mereka kepada Malaysian Football League (MFL)?

Itu persoalan yang timbul apabila salah seorang bekas pemain musim lalu mendedahkan pasukan itu tidak melakukan caruman Potongan Cukai Berkala (PCB) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), meskipun potongan gaji sudah dibuat.

“Saya terima panggilan daripada LHDN mengatakan ada tunggakan pembayaran PCB selama tiga bulan yang perlu dijelaskan, sedangkan gaji sudah dipotong. Bukan saya sahaja, ada beberapa bekas rakan sepasukan mengalami nasib sama.

“Kami sudah cuba selesaikan secara dalaman tanpa beritahu media, tapi bayangkanlah bila hubungi Setiausaha (Afizal Abu Othman) langsung tak jawab, senyap terus. Cara apa lagi kami ada?

“Kami harap Felda tidak menganiaya pemain macam ini. Bukan sahaja PCB, tetapi KWSP pun ada yg mereka tak carum, tapi peliknya dokumen kewangan hantar kat MFL lengkaplah pulak. Macam mana boleh lengkap kalau semua ni tak carum, setahu saya setiap dokumen yang dihantar kepada MFL perlu membuktikan mereka bebas dari sebarang tunggakan gaji, cukai mahupun KWSP.

“Sekarang mereka lepas (dengan MFL) tapi kami sangkut dengan LHDN,” kata pemain itu seperti dilaporkan Labola Malaya.

Sebagai rekod, MFL telah menetapkan bahawa setiap pasukan perlu menghantar dokumen kewangan antaranya membabitkan Surat Selesai Bayaran (Tunggakan Gaji), Surat Selesai Bayaran (Tunggakan KWSP), Surat Selesai Bayaran (Tunggakan PERKESO) dan Surat Selesai Bayaran (Tunggakan LHDN) bagi melengkapkan pendaftaran pasukan.

Felda United yang turut menanggung hutang tunggakan gaji lebih RM1 juta kepada bekas pemainnya lewat berbuat demikian, sekaligus menyaksikan ianya membawa kepada kegagalan mereka untuk melengkapkan pendaftaran pasukan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan MFL.

Felda United kemudiannya menjadi satu daripada tujuh pasukan yang dikenakan hukuman denda pemotongan 50 peratus geran tahunan bagi 2019.

Begitupun setelah mengemukakan rayuan dengan melengkapkan dokumen yang diperlukan, hukuman kepada mereka kemudiannya dikurangkan.

Dan dengan pendedahan ini, sekarang timbul keraguan mengenai sejauh mana integriti Felda United dan juga sejauh mana dokumen yang dihantar kepada MFL itu adalah dokumen yang sah.

 

Foto : Felda United

Comments