K. Devan anggap kebangkitan 5-3 PJ City FC luar biasa

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Petaling Jaya City Football Club (Pj City FC), K. Devan sendiri tidak menyangka anak buahnya berjaya bangkit daripada ketinggalan tiga gol di babak pertama dan mencatatkan kemenangan 5-3 ke atas Terengganu FC dalam aksi ke-13 Liga Super di Kuala Terengganu, semalam.

Menentang sebuah pasukan yang lebih tinggi kedudukannya dalam liga serta merupakan naib juara Piala Malaysia 2018, K. Devan menganggap ianya satu perkara luar biasa dalam bola sepak apatah lagi melakukan kebangkitan itu di halaman lawan.

“Saya tidak sangka keputusan ini, dengan bermain (menentang) pasukan Terengganu, di tempat lawan dalam keadaan biasa tidak mungkin berlaku. Tetapi dalam bola sepak, kadangkala perkara luar biasa boleh berlaku. Ini salah satu perkara luar biasa.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

K. Devan turut menceritakan beberapa perkara yang diperkatakan semasa rehat separuh masa pertama dalam bilik persalinan. Beliau berkata, “Separuh masa pertama kita terima tiga gol dalam jangka masa yang pendek, begitu singkat kerana belum ‘settle down’ lagi, selepas kita terima tiga gol, kita dapat mengatur permainan, kita berjaya menghasilkan peluang di akhir babak pertama.

“Ada sedikit kebangkitan ditunjukkan walaupun tidak menjaringkan sebarang gol.

“Di bilik persalinan, saya memberitahu kepada para pemain, kita perlu mendapatkan gol awal di separuh masa kedua, mungkin dengan gol awal kita akan mendapat gol kedua, ketiga akan tiba. Saya minta pemain melipat gandakan usaha dan bekerja keras supaya kita dapat menjaringkan gol.

“Setibanya di separuh masa kedua, kita menghasilkan gol dan ianya memberikan semangat semangat kepada pasukan untuk menghasilkan gol kedua dan ketiga. Itu memberikan satu petanda positif kepada para pemain untuk terus menjaringkan gol lagi.”

Selain daripada usaha dan motivasi pemain yang tidak berputus asa untuk terus memberikan saingan sehingga tamat permainan, situasi Terengganu FC yang baru sahaja menghadapi perlawanan dalam saingan Piala FA baru-baru ini turut memberikan sedikit kelebihan buat pasukan yang turut digelar ‘Manchester City Malaysia’ ini.

“Kita juga tahu, Terengganu bermain banyak perlawanan dalam Piala FA dan juga liga dan kita tahu ada kemungkinan pemain mereka keletihan, dari aspek ini, pasukan PJ City ada sedikit kelebihan, kita masih ‘fresh’.” katanya.

Kemenangan ke atas Terengganu FC membolehkan pasukannya melonjak ke kedudukan ke-9 Liga Super Malaysia dengan jumlah mata terkumpul sebanyak 14 mata. Lawannya pula sekadar berada satu tangga di atas PJ City FC dengan 16 mata.

Foto: MFL

Comments