Rajagopal kecewa pasukannya lepaskan dua gol mudah

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketua jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagopal sedikit kecewa apabila pasukannya melepaskan dua gol mudah dalam kekalahan 1-2 mereka kepada Kuala Lumpur di Cheras semalam.

Dalam perlawanan itu, PKNS bermula dengan positif apabila menjaringkan gol seawal minit ke-5 menerusi jaringan Romel Morales. Tetapi Kuala Lumpur bangkit kembali menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-28 dan jaringan Azmi Muslim pada minit ke-57.

“Kami bermula dengan positif dan menguasai perlawanan selepas gol pertama dan kami mendapat beberapa peluang, di mana jika penyerang kami terutamanya Kpah (Sherman) dan barisan serangan sempurnakan, perlawanan ini milik kami. Tetapi selepas itu, kami beraksi bagaikan tiada tenaga, hantaran bola tidak kemas dan tiada intensiti walaupun dalam 15 minit terakhir kami cuba dapatkan gol penyamaan tetapi tidak berjaya. Pada masa itu kami sudah tiada penyerang selepas keluarkan Sherman, seorang penyerang yang berbisa dan boleh menjaringkan gol. Ini adalah satu perlawanan yang secara keseluruhannya kami tidak patut kalah.

“Hari ini kami tidak beraksi seperti yang kami mahukan. Pergerakan tidak pantas, tidak mengawal dengan baik, kami menghantar bola awal kepada penyerang tetapi kami hilang bola. Biasanya kami rancang serangan dari bawah, tetapi setiap kali mereka membuat serangan balas, kami bergelut. Cuma ada di penghujung perlawanan di mana kami cuba untuk menyerang tetapi terlalu lambat,” kata Rajagopal selepas perlawanan.

Selepas ini PKNS akan berdepan pendahulu Liga Super 2019, Johor Darul Ta’azim di Stadium Shah Alam pada hari Jumaat ini.

Comments