Chong Yee Fatt enggan beri tekanan kepada anak buahnya

Khairul Nizam Khairul Nizam

Misi Kuala Lumpur untuk kekal dalam saingan Liga Super pada musim hadapan mungkin bergantung kepada dua perlawanan mereka yang seterusnya.

Selepas berjaya menewaskan PKNS 2-1 di Cheras semalam, City Boys akan berdepan Petaling Jaya City di Petaling Jaya dan menerima kunjungan PKNP di Cheras. Dua pasukan ini berada di tangga kepuluh dan kesembilan liga buat masa ini dan kemenangan ke atas dua pasukan ini mungkin membolehkan City Boys keluar dari zon penyingkiran.

Bagi ketua jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, dia enggan terlalu menumpukan terus kepada dua perlawanan itu tetapi lebih memilih untuk fokus satu demi satu perlawanan.

“Perancangan tu memang ada, tapi kami akan fokus satu-satu perlawanan. Ini adalah untuk tidak memberi tekanan kepada pasukan, jadi selepas perlawanan ini kami akan fokus kepada perlawanan seterusnya. Tiada yang istimewa tetapi sekadar fokus kepada persembahan kami sendiri.

“Saya selalu beritahu pemain saya bahawa musuh utama adalah diri kami sendiri, jadi kami perlu jaga diri kami sendiri dan persiapkan diri. Apa yang bagus adalah kami akan pertingkatkan semua perkara yang baik,” kata Yee Fatt selepas perlawanan.

Kemenangan ke atas PKNS membolehkan Kuala Lumpur keluar dari tangga tercorot buat sementara waktu kerana Felda United bakal berdepan Melaka United malam ini.

Comments