JDT mendahului liga dengan lapan mata – Luciano Figueroa

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa gembira dengan kejayaan pasukannya menundukkan Pahang 2-0 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin semalam seterusnya gah mendahului Liga Super Malaysia dengan kelebihan lapan mata.

“Perlawanan yang sukar, tetapi kami berjaya mencatatkan kemenangan.

“Kami mempunyai jarak lapan mata.” kata Luciano Figueroa ketika sesi sidang media.

Walaupun berpuas hati dengan kemenangan yang dicatatkan oleh anak buahnya, Luciano Figueroa menyedari mengenai kepincangan yang dialami oleh skuad Harimau Selatan terutamanya ketika dalam situasi ‘set-pieces’. Banyak peluang-peluang yang dimiliki mereka menerusi situasi tersebut gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

“Tentang situasi ‘set-pieces’ kadangkala menjadi dan kadangkala tidak seperti yang kita inginkan, lagipun setiap perlawanan adalah berlainan, pemain juga memberitahu saya sukar untuk memenangi bola dalam kotak mereka (Pahang),

“Kami akan memperbaiki tentang ‘set-pieces’, bagaimana untuk diambil sepakan tersebut, bagaimana untuk menang di dalam kotak.” ulasnya.

Selain itu, Luciano Figueroa pernah menjadi penyerang utama JDT suatu masa dahulu turut disoal mengenai permainan Diogo Luis Santo yang tidak menjaringkan sebarang gol pada perlawanan malam tadi. Bagi Lucho, penyerang dari Brazil tersebut merupakan seorang pemain ‘team player’ dan samada dia menjaringkan gol ataupun tidak, Diogo tetap pemain yang penting buat JDT.

“Dia (Diogo) seorang pemain yang penting buat kami, walaupun dia tidak menjaringkan sebarang gol, bagaimana cara dia bermain, cara dia memegang bola, dia memahami bola sepak. Bagi kami dia membantu pasukan dengan banyak, tanpa mengira dia menjaringkan gol ataupun tidak, dia tetap pemain penting buat JDT.” tambahnya.

Secara keseluruhannya, Luciano berpuas hati dengan kesemua pemainnya. Komitmen dan usaha yang ditunjukkan berjaya memberikan mereka tidak mata berharga dan dilihat dalam landasan yang tepat untuk menjulang trofi Liga Super Malaysia buat kali ke-6 berturut-turut.

“Saya sangat gembira dengan pemain-pemain, saya ucapkan tahniah kepada mereka kerana mereka telah bermain dengan baik. Mereka telah memenangi satu perlawanan yang sukar.” katanya.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Comments