Dollah rindukan sentuhan Dickson Nwakaeme

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak dapat menutup kerinduan terhadap ketiadaan penyerang prolifik, Dickson Nwakaeme di atas padang seterusnya menyebabkan pasukannya serba tidak menjadi ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, semalam.

Sebelum itu, beliau menafikan lontaran persoalan oleh wartawan ketika sesi sidang media selepas perlawanan yang mengatakan Pahang bermain untuk mendapatkan seri menentang skuad Harimau Selatan yang juga merupakan juara bertahan musim lalu.

Apa yang terjadi di dalam perlawanan semalam adalah kekurangan disiplin yang ditampilkan oleh anak buahnya menjadi punca kepada kemenangan 2-0 yang diraih oleh JDT seterusnya melebarkan kedudukan di puncak liga dengan kelebihan lapan mata.

“Kita di sini bukan nak main (untuk) seri, cuma hari ini kita tidak berdisiplin, terutamanya ketika bertahan. Kita banyak bagi ruang pemain-pemain JDT untuk pusing (turning), melakukan hantaran lintang dan percubaan.

“Separuh masa kedua kita cuba bangkit tetapi ianya tidak mencukupi, dan bahagian serangan pula serba tidak menjadi, saya terasa kehilangan (Dickson) Nwakaeme. Perbezaannya, jika dengan kehadiran Nwakaeme, dia boleh memegang bola di (bahagian) atas.” kata Dollah dalam sidang media, semalam.

Pada masa yang sama, Dollah turut melahirkan kekecewaan mengenai insiden yang menyebabkan pemain tengahnya, Safwan Baharudin dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan. Insiden itu menyebabkan rentak permainan Safwan terjejas seterusnya memberikan impak kepada kawasan tengah skuad Tok Gajah.

“Saya pun hairan juga, cepat sangat pengadil keluarkan kad kuning, tetapi nak buat macam mana, dalam perlawanan bola sepak ni? Selepas Safwan (Baharudin) mendapat kad kuning, beliau berasa tertekan untuk melakukan terjahan-terjahan.

“Jadi, di situ saya nampak banyak kelonggaran di bahagian tengah. Apa yang kita lihat, jika kita beri kebebasan kepada JDT di bahagian tengah, kita akan menerima padah.” jelasnya dengan nada sedikit kecewa kepada para wartawan yang hadir.

Selain itu, Pahang juga tidak mendapat 100% daripada kebolehan yang ada pada Nor Azam Azih disebabkan bahagian serangan tidak begitu efektif pada malam tadi. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Dickson Nwakaeme pula tidak dapat digantikan oleh Jose Eduardo di barisan serangan dan merencatkan perancangan permainan mereka.

“Itulah perbezaan apabila Ze Love (Jose Eduardo) bermain, amat ketara (berbanding Dickson), kita tiada pemain yang boleh memegang bola di atas itu.” jelas Dollah apabila hantaran-hantaran oleh Nor Azam tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ze Love.

“Sebab itu, bila Dickson Nwakaeme bermain, dia boleh ‘guide’ pemain-pemain muda seterusnya kita akan bermain dengan lebih baik. Tanpa Nwakaeme, kita akan kucar-kacir sedikit.” ujarnya lagi.

Foto: MFL

Comments