JDT hampiri kejuaraan, TFC kalah kepada PJ City setelah mendahului 3-0

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Johor Darul Takzim (JDT) nampaknya dalam laluan cukup selesa untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat musim keenam berturut-turut apabila mencatat kemenangan penting 2-0 ke atas pencabar terdekat Pahang di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin pada Selasa.

Kemenangan menerusi jaringan Hariss Harun dan Akhyar Rashid itu membolehkan skuad kendalian Benjamin Mora melebarkan rekod tanpa kalah dalam aksi Liga Super musim ini kepada 13 perlawanan, dan kini berkelebihan lapan mata di tangga teratas, dengan baki sembilan perlawanan untuk diharungi.

Meskipun saingan masih jauh untuk dinoktahkan, tetapi mengambil kira konsistensi ditunjukkan Harimau Selatan dan prestasi kurang konsisten kesemua pencabar mereka yang lain, ianya hampir pasti saingan musim ini akan sekali lagi mencapai penyudah anti klimaks.

Pahang yang mengalami kekalahan kedua berturut-turut kekal di tangga kedua dengan 25 mata dan mahu tidak mahu, mereka perlu mengakui hanya keajaiban sahaja yang boleh menghidupkan peluang untuk mereka terus mengejar JDT.

Sementara itu, di kala semua mata tertumpu kepada pertembungan ‘top of the table clash’ antara JDT dan Pahang, ianya PJ City yang mencuri ‘highlight of the day’ apabila bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk menewaskan Terengganu FC 5-3 di Kuala Terengganu.

Terengganu FC mendahului di separuh masa pertama menerusi jaringan Kipre Tchetche (m-11), Nabil Ahmad Latpi (m-18) dan Ashaari Shamsudin (m-19) namun skuad bimbingan K.Devan menukar skrip perlawanan dengan kebangkitan menakjubkan di separuh masa kedua.

Elizeu Araujo Batista memulakan kebangkitan menerusi gol pada minit ke-49, disusuli jaringan Pedro Henrique Cortes (m-57), Washington Brandao (m-58), Zamri Ramli (m-77) dan jaringan kedua peribadi Pedro Henrique (m-80).

Kemenangan keempat buat PJ City menyaksikan mereka kekal di tangga kesembilan dengan 14 mata manakala Terengganu FC yang mengumpul 16 mata tergelincir ke tangga kelapan.

Di Ipoh, Perak bimbingan Mehmet Durakovic melakar kemenangan ketiga musim ini menerusi dua jaringan Ronaldo Henrique Silva dan satu gol Raianderson Da Costa Morais manakala PKNP membalas menerusi Yashir Pinto.

Perak mengumpul 17 mata dan melonjak ke tangga kelima manakala PKNP pula kekal di tangga kesepuluh dengan 11 mata.

Dalam satu lagi aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, tuan rumah bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC.

Gol oleh Indra Putra Mahyudin dan Azmi Muslim memadam jaringan awal Romel Morales dan menghadiahkan kemenangan ketiga buat Kuala Lumpur musim ini.

Comments