Lima Perkara: Kemanisan Ramadhan buat Kuala Lumpur

Khairul Nizam Khairul Nizam

Satu mahu mengejar kelompok teratas, satu mahu mengelak penyingkiran. Kuala Lumpur dengan misi ‘survival’ mereka berdepan anak buah Datuk K. Rajagopal yang berada di tangga kelima liga. Perlawanan di separuh musim pertama menyaksikan PKNS menang 3-2 di Stadium Shah Alam.

Ramadhan dan hujan yang turun membawa rahmat buat Kuala Lumpur apabila berjaya mencatat kemenangan ketiga mereka dengan keputusan 2-1. Ini lima perkara berkenaan perlawanan tadi:

#1 Yee Fatt kekalkan kesebelasan utama

Chong Yee Fatt mengekalkan kesebelasan utamanya ketika berdepan Felda United, mungkin selepas melihat mereka sukar dibolosi. Aksi pertama Darko Markovic untuk Kuala Lumpur bagi di laman sendiri akan diharap sama seperti ketika menentang Felda di mana dia banyak membantu menenangkan bahagian tengah Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur bermain sedikit bahaya apabila menggunakan ‘high line’ dengan Kpah Sherman bermain sebaris dengan Ryu dan Irfan. Satu kesilapan dan Kpah boleh berada dalam situasi satu lawan satu dengan Sharbinee.

#2 Resipi sama untuk Rajagopal

Kenapa perlu tukar resipi yang sudah sedap? Untuk perlawanan ini cuma Chan Vathanaka sahaja yang tidak beraksi di antara semua pemain import PKNS. Romel Morales terus mengetuai orkestra serangan PKNS dengan Akram menghubungkan pertahanan dengan serangan.

PKNS bagaikan dapat menghidu kelemahan Kuala Lumpur di sebelah kanan mereka yang diisi Firdaus Faudzi. Morales dan Gabriel Guerra bergilir-gilir membuli Firdaus dengan Zhafri Yahya sedikit lambat turun membantu. Tetapi bukan bermakna PKNS tiada kelemahan. Barisan tengah PKNS mungkin terlalu teruja menyerang sehingga meninggalkan ruangan besar yang dieksploitasi Paulo Josue dan Indra Putra.

#3 Gol atau tidak?

PKNS menjaringkan gol seawal minit ketiga. Tetapi berlaku pertikaian sama ada jaringan itu wajar disahkan atau tidak. Pemain Kuala Lumpur membantah kerana merasakan tandukan Morales termasuk menerusi jaring yang bocor. Mungkin jika VAR digunakan, ia dapat membantu?

Tetapi Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan menerusi otai berbisa, Indra Putra. Hantaran Paulo Josue terus menjadi mimpi ngeri pertahanan lawan apabila bola menjunamnya sukar dikeluarkan pertahanan, singgah ke kepala De Paula yang menyungkit bola. Indra yang sebenarnya mengharapkan hantaran Paulo terus ke arahnya bernasib baik apabila sungkitan De Paula itu menuju ke badannya lalu terus menerjah gawang PKNS.

#4 Rembatan Azmi mengelirukan Zarif

Barisan pertahanan PKNS sebenarnya sudah beraksi baik untuk mengekang barisan serangan KL. Gandingan Rodney dan Tamirlan dapat mengawal De Paula yang sering berseorangan. Tetapi Kuala Lumpur berjaya menjaringkan gol kedua selepas penjaga gol Zarif Irfan melakukan kesilapan. Dia mungkin menjangka Azmi mahu membuat hantaran kerana posisinya bagaikan mahu menangkap hantaran. Apabila Azmi merembat kencang dari luar kotak penalti, tepisan Zarif terlalu lemah dan menghala ke arah golnya sendiri. Bola dengan perlahan bergolek masuk ke dalam gawang PKNS.

#5 Indahnya Ramadhan di Kuala Lumpur

Kemanisan Ramadhan buat Kuala Lumpur yang berjaya mencatat kemenangan ketiga di Liga Super. Darko Markovic ternyata berjaya memberi ketenangan di bahagian tengah City Boys. Kehadiran Darko mungkin boleh memberi kesan kepada survival Kuala Lumpur di Liga Super.

Bagi PKNS pula, mereka mantap di pertahanan, tetapi terlalu membenarkan KL menguasai bahagian tengah dan barisan serangan mereka tidak menjadi malam ini terutamanya selepas Kpah dikeluarkan. Separuh masa kedua KL tidak bermain high line, sekaligus kelajuan pemain mereka tidak berguna.

Foto: MFL

Comments