Lima Perkara: Tumbangkan Pahang 2-0, JDT makin selesa di puncak Liga Super

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Aksi ke-13 Liga Super Malaysia menyaksikan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) melayan kunjungan pasukan di tangga ke-2, Pahang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Jaringan Hariss Harun pada minit ke-69 dan Akhyar Rashid pada minit ke-93 membolehkan JDT catat kemenangan 2-0 ke atas Pahang seterusnya memimpin Liga Super dengan kelebihan 8 mata.

Berikut adalah lima perkara yang kami dapati daripada perlawanan ini.

#1 Pahang sekadar mengharapkan kelebihan individu

Kedua-dua pasukan menamatkanb babak pertama dengan skor 0-0. Setakat 45 minit pertama, Pahang beberapa kali mendapat peluang untuk melancarkan serangan. Bagaimanapun, serangan-serangan Pahang mudah dikekang dan dipatahkan oleh barisan pertahanan JDT kerana meraka banyak mengharapkan kelebihan individu berbanding bermain secara berpasukan untuk memburu jaringan.

Mereka mengharapkan larian solo daripada Faisal Halim, kelajuan Mohamadou Sumareh serta Norshahrul Idlan Talaha dan Jose Eduardo untuk mengatasi pertahan lawan. Beberapa bola lintang daripada Matt Davies gagal menemui sesiapa di dalam kotak penalti.

#2 JDT kuasai permainan, Akhyar Rashid tunjang kemenangan Harimau Selatan

Jelasnya, dalam 45 minit JDT menguasai permainan lebih baik berbanding Pahang. Malah, statistik separuh masa pertama juga menunjukkan perkara demikian. Kreativiti dan idea mereka di hadapan kotak penalti sangat baik. Apa yang menjadi pemisah untuk Harimau Selatan menjaringkan gol hanyalah serangan yang kurang tajam dan ketangkasan Helmi Eliza dihadapan gawang.

Separuh masa kedua, bertitik tolak daripada kemasukan Akhyar Rashid, JDT menggandakan asakan. Beliau terlibat dalam kedua-dua gol yang dijaringkan oleh JDT. Gol pertama, Akhyar melorongkan bola kepada kapten pasukan, Hariss Harun. Manakala gol kedua hasil daripada kekalutan didalam kotak penalti Pahang dan beliau pantas merembat untuk menewaskan Helmi Eliza.

#3 Hariss Harun jaringkan gol pertama Liga Super 2019

Bermula daripada memenangi bola di kawasan Pahang, Hariss Harun terus melakukan lorongan kepada Akhyar Rashid di sayap kanan. Matyat yang baru sahaja dimasukkan pada minit ke-65 masih lagi ‘fresh’. Beliau dengan mudah melakukan larian mengatasi Faisal Rosli sebelum melakukan ‘crossing’ rendah kepada Hariss Harun untuk menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-69. Gol itu juga merupakan gol pertamanya dalam saingan Liga Super Malaysia musim 2019.

#4 Tanpa Dickson, Pahang bermasalah

Dickson Nwakaeme tiada dalam senarai 18 pemain pada malam ini. Nampaknya, penyerang Nigeria masih dalam kecederaan selepas daripada perlawanan menentang Terengganu FC, saingan suku akhir lalu.

Di Larkin, ketiadaan beliau menyebabkan Dollah Salleh memberikan sandaran kepada Jose Eduardo dan Norshahrul Idlan Talaha. Gandingan ini sukar untuk menandingi barisan pertahanan dan penjaga gol JDT. Pahang hilang pemain yang mampu memberikan saingan fizikal dan melakukan percubaan disebabkan ketiadaan Dickson Nwakaeme seterusnya memberikan masalah untuk mereka memburu jaringan.

#5 JDT selesa 8 mata di puncak Liga Super

Kemenangan 2-0 ke atas Pahang pada malam ini membolehkan JDT selesa memimpin Liga Super Malaysia musim 2019 dengan kelebihan 8 mata. Jumlah mata yang terkumpul oleh JDT ketika ini adalah 33 mata manakala Pahang pula kekal 25 mata di tempat kedua. Nampak gayanya, JDT berpeluang cerah untuk mengekalkan kejuaraan pada musim ini. Bagaimanapun, masih ada lagi lebih kurang 9 perlawanan untuk diharungi pada musim ini.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Comments