Flavio sertai Bhayangkara, tinggal hanya pemain tempatan dalam skuad Kelantan

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Skuad Kelantan dijangka meneruskan baki saingan Liga Malaysia musim ini tanpa pemain import setelah penjaring terbanyak mereka dengan empat gol, Flavio Beck Junior sah menyertai kelab Liga 1 Indonesia, FC Bhayangkara.

Pemain kelahiran Brazil itu menjadi pemain kedua angkat kaki selepas Raul Tarragona berbuat demikian pada bulan lalu, setelah dia bersetuju dengan penamatan kontrak secara bersama ditawarkan Persatuan Bolasepak Kelantan dek masalah kewangan kritikal di kem The Red Warriors.

Dalam posting di instagram peribadinya, Flavio Beck Junior memuatnaik gambar dengan kapsyen “Flavio Is Back” yang menunjukkan betapa dia gembira untuk kembali ke Liga Indonesia dan mensasarkan mahu membuka buku baru selepas mengharungi musim yang mengecewakan bersama Kelantan.

Sebagai rekod, Liga Indonesia bukanlah asing buat Flavio Beck Junior kerana dia pernah beraksi di sana bersama kelab Borneo FC pada musim 2016-2017 sebelum menyertai Negeri Sembilan musim lalu.

Kelantan pula, walaupun masih ada dua pemain import di dalam skuad iaitu pemain dari Afghanistan, Mustafa Zazai dan juga pertahanan Cassio Francisco De Jesus, mereka berdua dijangka tiada dalam perancangan dan tidak akan diturunkan Yusri Che Lah setidak-tidaknya buat masa ini.

Mustafa Zazai dan Yusri Che Lah diketahui tidak lagi sehaluan selepas dia dikritik secara terbuka oleh Yusri selepas kekalahan di tangan Negeri Sembilan pada bulan lalu, dan dilaporkan dia juga dalam laluan untuk meninggalkan pasukan.

Manakala Cassio pula, sudah begitu lama tersisih kerana kecederaan dan Yusri Che Lah sendiri menyatakan pemain itu memerlukan dua atau tiga minggu lagi untuk kembali kepada kecergasan penuh, justeru khidmatnya tidak akan digunakan sepanjang bulan Ramadhan ini malah jika tidak menunjukkan tanda-tanda mahu pulih, sudah ada bayangan dia juga akan disingkirkan.

Mengambil kira situasi semasa di mana Kelantan tidak dibenarkan mengambil pemain baru disebabkan sekatan perpindahan yang dikenakan oleh Malaysia Football League ke atas mereka, maka Kelantan nampaknya akan meneruskan musim tanpa kelibat import.

 

Foto : IG Peribadi Flavio

Comments