“Jangan asyik cari kelemahan MFL, lihat juga sisi positif ..” – Shukor Adan

Pemain berpengalaman, Shukor Adan mahu pemerhati dan peminat bola sepak tempatan tidak terlalu mencari kelemahan badan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL), sebaliknya menyokong beberapa usaha positif sedang dilakukan MFL dalam usaha memartabatkan liga bola sepak tempatan.

Dia yang kini menyarung jersi Melaka dan telah berkecimpung selama 20 tahun dalam bolasepak profesional mengakui, MFL sudah melakukan pembaharuan dalam beberapa aspek seperti peningkatan penajaan dan jadual liga yang lebih tersusun serta tidak terlalu padat.

Malah, bekas kapten kebangsaan itu melihat pembentukan MFL seiring dengan langkah-langkah negara gergasi bola sepak di Asia seperti Jepun dan Korea Selatan yang turut mempunyai satu badan pentadbir khusus untuk mengawal selia liga bolasepak masing-masing.

“Sepanjang pembabitan sekian lama selaku pemain, saya lihat ada kebaikan yang MFL bawa dalam memastikan liga kita semakin kukuh dalam soal penajaan terutama daripada segi peningkatan geran tahunan kepada pasukan musim lalu.

“Jika dahulu mungkin tidak banyak penaja namun sekarang saya lihat semakin banyak syarikat korporat makin berminat dengan liga bola sepak negara kita dan ini usaha yang perlu disokong semua pihak.

“Malah saya dapati kemeriahan itu semakin ketara kerana semua perlawanan sekarang telah disiarkan secara langsung (boleh ditonton menerusi
telefon bimbit), berbeza waktu dahulu yang mana hanya perlawanan tertentu sahaja boleh dilihat di kaca televisyen.

“ Mungkin ada serba sedikit kelemahan di sana sini tetapi perkara itu biasa buat mana-mana organisasi dan saya tidak fikir kita perlu tumpu dalam soal negatif sahaja sedangkan ada kebaikan yang cuba dilakukan MFL dalam mengkukuhkan liga kita.

“Saya rasa lebih baik kita tumpukan perkara positif yang dilakukan MFL kerana secara tidak langsung ia akan menarik lebih banyak pihak penaja melabur ke dalam Liga Malaysia, ” katanya.

Shukor dalam masa sama berpendapat bahawa jadual yang diatur MFL lebih baik berbanding sebelum ini sekali gus memberi banyak manfaat kepada pemain selain membantu persiapan skuad kebangsaan.

Antara perbezaan ketara ialah jadual liga yang jarang berubah selain waktu rehat mencukupi kepada semua pemain kerana jadual tidak begitu padat.

“Aspek jadual, saya berasa gembira dengan apa dilakukan MFL kerana daripada awal lagi sudah tersusun kerana telah melihat semua aspek melibatkan pasukan kebangsaan dan jarak rehat diperlukan untuk hadapi persiapan pra-musim.

“Jarang berlaku rombakan dan ini memudahkan perancangan jangka panjang jurulatih dan pemain untuk hadapi lawan yang telah ditetapkan pada saban minggu, ” katanya.

Foto : Melaka United

Comments