Khairul Amri tidak dapat beraksi menentang Melaka United

Khairul Nizam Khairul Nizam

Nampaknya masih belum masa untuk Khairul Amri menjaringkan gol pertamanya untuk Felda United.

Selepas terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Kuala Lumpur, penyerang Singapura itu kempunan lagi kerana terpaksa diketepikan bagi perlawanan bertemu Melaka United ekoran kecederaan yang masih belum pulih.

Khairul Amri yang mengalami kecederaan bahu kiri dalam perlawanan bertemu KL sebelum ini diharap dapat membantu mempertajam serangan Felda United, tetapi ketua jurulatih Felda, Nidzam Jamil menyatakan kecederaan itu perlu mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

“Kita sangat memerlukan khidmat Khairul Amri bagi menambah ketajaman di bahagian serangan, namun terpaksa akur apabila dimaklumkan status kecederaan dialaminya.

“Kecederaan itu memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih sebelum dia dapat kembali bersama pasukan,” kata Nidzam seperti dilaporkan Berita Harian.

Felda kini berkongsi tangga tercorot bersama Kuala Lumpur dengan lapan mata tetapi mempunyai perbezaan jaringan yang lebih baik berbanding KL. Hanya tiga mata memisahkan Felda dan KL dengan dua pasukan di atas mereka iaitu PKNP dan Petaling Jaya City.

 

Kredit foto: Felda United FC

Comments