Dollah mahu Pahang buru kemenangan di Larkin, rapatkan jurang dengan JDT

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mahu anak buahnya memburu kemenangan dalam aksi ke-13 Liga Super Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Hanya kemenangan membolehkan skuad Tok Gajah kembali menghimpit JDT yang juga juara bertahan di mana ketika ini mereka cukup selesa mendahului dengan jarak 5 mata berbanding pasukan Pahang di tangga kedua.

Bagaimanapun, Dollah Salleh tahu bahawa Larkin merupakan laman kebal buat pasukan JDT. Majoriti pasukan yang bertandang ke sana, pulang dengan ‘tangan kosong’ terutamanya dalam saingan liga. Dan ini merupakan cabaran besar buat Pahang untuk meraih tiga mata di sana.

“Bertandang ke gelanggang mereka (JDT), sudah pasti menjadi cabaran yang sangat besar kepada kami dan saya sudah maklumkan kepada semua pemain supaya memberikan fokus sepenuhnya dan bermain dengan penuh bersemangat.

“Kunjungan ke Larkin adalah tugas berat dan memandangkan kita ketinggalan lima mata, sudah tentu kita mahukan kemenangan selepas sekadar seri 1-1 pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini.

“Saya harap kemenangan ke atas TFC Jumaat lalu menjadi pencetus semangat kepada pemain menunjukkan prestasi konsisten mereka,” katanya dalam BH Online.

Bagi menghadapi JDT, pengendali berusia 55 tahun ini mengharapkan dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya. Namun, sedikit menggusarkan beliau adalah keadaan penyerang prolifik mereka, Dickson Nwakaeme berada dalam keadaan ragu-ragu.

Hal ini terbukti di mana kehadiran Dickson Nwakaeme yang telah menjaringkan lima gol buat pasukan Pahang dalam saingan Liga Super musim ini menambahkan keyakinan rakan sepasukan untuk beraksi lebih cemerlang seperti mana menentang Terengganu FC, jumaat lalu.

“Memang dia (Nwakaeme) mengalami kecederaan ketika beraksi Jumaat lalu, tapi saya rasa dia boleh kembali bersama skuad Tok Gajah malam esok.

“Kita perlukan khidmat dia dalam perlawanan penting seperti menentang JDT ini, dan kita boleh nampak kesan dan impak dibawa pemain itu ketika aksi suku akhir kedua Piala FA.

“Kalau boleh, saya mahu Nwakaeme ada dalam senarai kesebelasan utama skuad Tok Gajah (malam) esok dan menerajui jentera serangan,” katanya.

Foto: Pahang FA

Comments