TFC perlu sedar mereka tertinggal 14 mata dengan pendahulu Liga Super

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Menjelang pertembungan di antara Terengganu FC (TFC) dan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Kuala Terengganu, penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik membawa anak buahnya menyedari hakikat bahawa mereka tertinggal jauh dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bukan itu sahaja, TFC yang menghuni tangga ke-7 liga juga sedang sengit bersaing dengan pasukan PKNS FC dan Melaka di mana kedua-dua pasukan ini juga mengumpul mata yang sama dengan pasukan bimbingan Irfan Bakti iaitu 16 mata daripada 12 perlawanan.

“Kita tidak boleh cicir mata lagi kerana saingan liga makin mencabar apatah lagi kita sudah ketinggalan 14 mata dengan pendahulu,” kata Mohamad Nik dalam BH Online.

Sudah pasti kekalahan memalukan mereka dalam saingan suku akhir Piala FA baru-baru ini masih berbekas dalam pemikiran pemain-pemainnya.

Namun, Mohamad Nik menasihatkan anak buahnya untuk memandang ke hapadan dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada aksi ke-13 Liga Super, menentang pasukan bimbingan K. Devan yang dijadualkan pada jam 10 malam, hari ini.

“Kekalahan kepada Pahang tempoh hari sudah pasti sukar diterima bukan saja pemain, malah semua peminat, oleh itu saya gesa pemain perlu bangkit mencatat kemenangan dengan melupakan kekalahan itu.

“Usah ulangi kesilapan sama, sebaliknya pemain perlu tampil dengan aksi lebih mantap,” ujarnya.

Untuk rekod, ketika menentang PJ City FC pada April lalu, TFC mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan Igor Zonjic dan Tchetche Kipre pada babak kedua. Justeru, tiga mata penuh pastinya menjadi buruan mereka sekali lagi lebih-lebih lagi beraksi di halaman sendiri.

Tetapi, aksi yang berlangsung di bulan Ramadan ini sedikit sebanyak menggusarkan keyakinan Mohamad Nik untuk meraih keputusan tersebut.

“Selain itu, kami harap semua pemain mampu mengekalkan prestasi terbaik biarpun beraksi pada Ramadan yang sudah tentu menyebabkan pemain cepat lesu dan kurang bertenaga,” katanya lagi.

Foto: Terengganu Football Club

Comments