Jamie Vardy bakar motivasi Nabil Latpi untuk terus mengorak langkah

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pemain baru Terengganu FC (TFC), Mohamad Nabil Ahmad Latpi menjadikan penyerang England Jamie Vardy sebagai sumber inspirasi di dalam mengorak langkah mengembangkan kariernya sebagai pemain bolasepak professional.

Pemain berusia 27 tahun yang bermain di posisi sayap itu tampil cemerlang bersama kelab amatur daripada Liga M3, Ultimate FC sebelum dipancing pasukan Liga Super itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia awal bulan ini.

Sama seperti Vardy yang beraksi dengan kelab bawahan, Fleetwood Town sebelum membantu Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris 2015-2016, Nabil juga menyimpan cita-cita tinggi.

Bagi pemain kelahiran Pendang, Kedah itu, dia percaya peluang yang diberikan oleh jurulatih TFC Irfan Bakti Abu Salim ibarat ‘talian hayat’ kedua dalam kariernya selepas diketepikan PDRM pada 2018.

“Selepas tidak bersama PDRM, ketika itu memang susah, saya fikir impian saya untuk beraksi dengan pasukan Liga Super tidak akan tercapai. Kemudian saya terus berusaha dengan bermain di Liga M3 bersama Ultimate FC.

“Alhamdulillah, tak sangka rezeki saya sehingga ditawarkan kontrak oleh Terengganu. Saya tahu, saya tidak boleh berputus asa walaupun hanya bermain di Liga Amatur sebelum ini. Lihat apa yang dilakukan Jamie Vardy, seorang pemain amatur yang akhirnya mencipta nama.

“Tapi saya sedar, cabaran yang bakal saya lalui bukan mudah. Liga Super adalah pentas lebih besar berbanding apa yang saya lalui sebelum ini. Saya kena berusaha lebih keras untuk mendapat tempat dalam pasukan,” kata Nabil yang menandatangani kontrak selama enam bulan bersama TFC.

Nabil yang meledak tujuh gol bersama Ultimate FC belum membuat penanpilan sulung bersama TFC setelah hanya diletakkan dalam senarai simpanan ketika TFC tewas 0-4 di tangan Pahang pada suku akhir kedua Shopee Piala FA pada Jumaat lalu, kekalahan yang menyaksikan mereka tersingkir menerusi agregat 2-5.

Ia pengalaman pertama cukup perit buat Nabil namun pemain sayap kiri ini bersedia untuk membantu skuad Penyu memperbaiki kedudukan dalam Liga Super dan mencabar kejuaraan Piala Malaysia.

“Tak sangka, saya boleh berada satu pasukan bersama pemain yang saya kagumi sebelum ini seperti Ashari Samsudin dan Syamim Yahya. Saya berterima kasih kepada pemain dan jurulatih Irfan yang banyak memberi tunjuk ajar.

“Memang saya mengharapkan untuk membuat penampilan pertama jadi saya kena cepat menyesuaikan diri bersama pasukan. Bersama Ultimate FC, saya beraksi di posisi penyerang dan di sini, saya diberi peranan sebagai pemain sayap kiri.

“Saya berharap dapat menyumbang sesuatu kepada pasukan dan sudah pasti saya mengimpikan kejuaraan bersama Terengganu,” katanya.

Comments