FAS anjur program ‘Jom Terawih’ sebelum perlawanan Selangor – Kedah

Khairul Nizam Khairul Nizam

Setiap kali menjelang Ramadhan kita melihat sambutan terhadap perlawanan Liga Malaysia menjadi sepi. Stadium kurang dihadiri penyokong dengan ramai yang pergi ke masjid dan surau bagi melakukan solat terawih. Dengan Solat Terawih banyak yang habis seawal jam 9.30 malam, jadi ramai yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium bagi menyaksikan perlawanan yang berlangsung pada pukul 10 malam.

Tetapi, nampaknya Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah menemui jalan penyelesaian yang cukup unik dan mampu mengeratkan ikatan di antara penyokong.

Baru-baru ini, FAS telah mengumumkan bahawa mereka akan menganjurkan program Solat Terawih berjemaah di Stadium Shah Alam sebelum perlawanan di antara Selangor menentang Kedah esok. Program yang dipanggil Jom Terawih itu akan turut dihadiri Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Program ini bukan hanya untuk penyokong Selangor, tetapi juga menjemput penyokong pasukan Kedah untuk bersama-sama Solat Terawih sebelum perlawanan.

Selain itu, FAS turut mengumumkan bahawa kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah akan dibenarkan masuk ke stadium secara percuma bagi menyaksikan perlawanan. Bagi pemegang kad bermusim Red Giants pula, mereka juga akan diraikan dengan jamuan berbuka di stadium.

Apa yang dilakukan oleh FAS ini merupakan satu tindakan bijak di mana selain dapat menarik penyokong untuk hadir ke stadium sambil beribadah, ianya dapat juga mengeratkan hubungan sesama penyokong sempena bulan Ramadhan ini. Mungkin semua pasukan Liga Malaysia boleh mengikut jejak langkah Selangor ini di bulan Ramadhan.

 

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)

Comments