KLFA jangan keras kepala, nanti merana di kemudian hari ..

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menasihatkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) supaya mematuhi arahan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mengadakan Kongres Tahunan dan pemilihan kepimpinan baru sebelum 31 Mei ini, jika tidak mahu merana di kemudian hari.

Walaupun KLFA merasakan PJS tiada hak untuk masuk campur dalam kemelut mereka dan menentukan tarikh untuk kongres itu diadakan, FAM menjelaskan sebaliknya.

“PJS memang memiliki kuasa dan keputusan itu (adakan kongres sebelum 31 Mei) dibuat selepas menilai pelbagai aspek termasuk statut KLFA itu sendiri, malah mereka juga ada minta pandangan kami,” ujar Stuart Ramalingam, Setiausaha Agung FAM.

Justeru itu, Stuart menasihatkan KLFA supaya tidak berterusan mengeruhkan keadaan dengan memberi kenyataan dan bertelagah melalui media, sebaliknya jika perlukan penjelasan lanjut boleh mengadakan pertemuan empat mata dengan PJS.

“Jika ada apa-apa yang mereka tidak puas hati, gunakan masa yang ada sekarang untuk adakan pertemuan. Mereka boleh jumpa PJS untuk berbincang permasalahan yang sedang dihadapi dan ia akan dapat diatasi. Kesannya akan merugikan mereka sendiri jika terus bersikap begini. FAM sedia menjadi perantara supaya konflik ini dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Terdahulu pada Ahad, Foxsports melaporkan kenyataan Setiausaha Agung KLFA Nokman Mustaffa yang berkata mereka tiada keperluan untuk mengikut arahan oleh PJS supaya kongres diadakan pada atau sebelum 31 Mei dan merancang mengadakan kongres yang sekian lama tertangguh itu hanya selepas Hari Raya Aidilfitri.

Malah Nokman menyatakan persatuan itu tidak kisah sekiranya dikenakan hukuman termasuk penggantungan dan  bersedia mengheret kemelut ini ke FIFA sekiranya PJS berterusan masuk campur.

Sebagai rekod, Kongres Tahunan KLFA ke-31 yang sepatutnya diadakan pada 18 November 2018 ditangguhkan oleh PJS selepas menerima bantahan daripada ahli gabungan berhubung proses pencalonan dan pemilihan kepimpinan baru.

 

Foto : Labola Malaya

Comments