Lee Tuck jelaskan situasi sebenar

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

lePemain Terengganu FC, Lee Tuck menafikan bahawa dia bersikap tidak serius dan sambil lewa dalam memohon pertukaran status kerakyatan (Britain kepada Malaysia) yang akan membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya.

Tanggapan itu wujud berikutan pemain itu masih belum mengemukakan permohonan untuk memegang passport Malaysia meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah berulang kali menasihatkannya berbuat demikian, untuk membolehkannya didaftar sebagai pemain tempatan.

Bagaimanapun, Lee Tuck menafikan dia tidak serius dan menjelaskan situasi sebenar.

“Saya masih berminat menyarung jersi Malaysia, bukan bersikap sambil lewa sebaliknya sedang persiapkan dokumen yang diperlukan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Ianya mengambil masa untuk dilengkapkan dan saya harap semuanya selesai dalam tempoh terdekat,” kata Lee Tuck.

Sebagai rekod, Lee Tuck boleh dipanggil segera ke kem kebangsaan jika sudah mempunyai passport Malaysia, dan tidak perlu menunggu selama lima tahun bermain di Liga Malaysia sepertimana syarat ditetapkan kepada pemain naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh kerana dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi neneknya yang berasal dari Sabah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Tengku Farouk Abdul Jalil menjelaskan persatuan itu tidak boleh dipersalahkan di atas kelewatan mengemukakan permohonan menukar status pemain itu kepada FAM, dan menyangkal bahawa mereka tidak membantu memudahkan urusan Lee Tuck.

“Kita tidak ada masalah dan sedia uruskan pendaftaran pemain itu sebagai pemain tempatan, tapi setakat ini kita tidak menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada pemain itu sendiri, cuma hanya cakap-cakap dan melalui media.

“Ini kerana permohonan itu seharusnya bermula daripada pemain itu sendiri, jika pemain itu betul-betul berminat dia perlu mengemukakan dokumen lengkap yang diperlukan.

“Kita tidak boleh memaksa pemain itu kerana implikasinya besar yang membabitkan kewarganegaraan. Oleh itu keputusan muktamad ada pada pemain itu sendiri untuk membuat keputusan sama ada berminat menyarung jersi pasukan negara ataupun sebaliknya,” katanya.

 

Foto : Terengganu Football Club

Comments