Lima Perkara: Juara bertahan Piala FA, Pahang berhempas-pulas tewaskan UKM FC

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Juara bertahan Shopee Piala FA, Pahang FA bertandang ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras untuk menentang pasukan Kelab Bolasepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC).

Walaupun hadir selaku juara bertahan dalam saingan ini, anak buah Dollah Salleh terpaksa berhempas-pulas untuk mengatasi pemain-pemain UKM FC. Mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-84 sebelum dapat menjaringkan gol tunggal menerusi Matt Davies.

Tamat perlawanan, UKM FC 0-1 Pahang. Mereka menyertai Terengganu FC, Felda United, Perak dan lain-lain ke saingan suku akhir.

Berikut adalah 5 perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan sebentar tadi:

#1 Pahang turunkan barisan terbaik, tiada istilah penggiliran pemain

Walaupun menentang pasukan daripada kancah divisyen dua, Liga Premier, ketua jurulatih Pahang tidak memandang mudah cabaran daripada UKM FC dengan menurunkan kesebelasan utamanya.

Bermula daripada penjaga gawang, Helmi Eliza dan dibarisi oleh bek berempat iaitu Faisal Rosli, Herold Goulon, Muslim Ahmad dan Matt Davies. Di bahagian tengah, gandingan Safwan Baharudin dan Wan Zaharulnizam digandingkan seperti biasa. Dan Sumareh,Norshahrul, Ze Love serta Dickson Nwakaeme mengemudi jentera serangan.

#2 Pahang tumpul, UKM FC ikat Tok Gajah 0-0 pada babak pertama

45 minit pertama, Pahang berjaya menguasai beberapa aspek permainan. Berjaya memegang bola serta melancarkan serangan ke gawang UKM FC. Bagaimanapun, Pahang tidak berjaya ‘convert’ peluang-peluang yang dimiliki kepada jaringan gol.

Hantaran lintang daripada Matt Davies dan Mohamadou Sumareh ke dalam kotak penalti kadang-kala lemah dan gagal mencari rakan sepasukan di dalam kotak penalti. Penjaga gol dan pertahanan UKM FC pula dilihat cukup berhati-hati dalam menyerap asakan Pahang dan segera melakukan ‘clearance’ jika berada dalam situasi yang mencemaskan gawang mereka.

#3 Matt Davies pecah kebuntuan selepas 84 minit permainan

UKM FC dan Pahang Fa terikat tanpa jaringan sehingga lebih 80 minit permainan. Walaupun Pahang mendominasi, namun serangan-serangan Pahang gagal diterjemahkan kepada jaringan. Namun, bek kanan, Matt Davies berjaya memecahkan kebuntuan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan berpunca rembatan rendah yang mengelirukan penjaga gol dan pertahanan UKM FC pada minit ke-84.

#4 UKM FC mengharapkan ‘counter attack’ namun tiada ‘finishing’

Walaupun anak buah Dollah Salleh mendominasi perlawanan ini, pasukan UKM FC beberapa kali dapat melancarkan serangan menerusi gerakan ‘counter attack’. Dan kebanyakan serangan mereka adalah di bahagian sayap kiri menerusi pemain berjersi No.10, Mohd Hafizi Amiruddin. Sayangnya, mereka tiada ‘finishing’. Beberapa bola hantaran lintang sekadar melintasi hadapan gawang Pahang tanpa ada seorang pun ‘targetman’ untuk menyudahkannya.

#5 Aksi yang kurang memberangsangkan, juara bertahan bernasib baik

Juara bertahan, Pahang FA bernasib baik dapat merekodkan kemenangan dalam perlawanan pada malam ini.  Persembahan yang kurang memberangsangkan, namun terima kasih kepada jaringan Matt Davies membolehkan mereka melangkah ke saingan suku akhir, Shopee Piala FA 2019. Kini, mereka akan menantikan lawan seterusnya di saingan suku akhir dalam majlis undian yang akan dijalankan kelak.

Foto Kredit: Malaysian Football League

Comments