AFC perlu lebih peka, pasukan boleh manipulasi keputusan perlawanan

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Tamat sudah pusingan kelayakan Kejuaraan AFC 2020 B-23, 16 pasukan yang layak ke pusingan akhir sudah diketahui, dan sayang sekali tiada nama Malaysia dalam senarai tersebut.

Ia sekaligus menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian tahun 2018, dalam masa sama berkuburnya impian untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ramai menyebut kegagalan menang besar ke atas Laos pada perlawanan kedua tempoh hari sebagai punca utama kegagalan skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee meneruskan kemaraan.

Ia boleh dikatakan satu ‘direct conclusion’ kerana sememangnya kemenangan tipis 1-0 menyaksikan Malaysia terpaksa berputih mata dipintas Iran, Syria dan Arab Saudi pada saat akhir untuk mengisi kedudukan empat naib juara terbaik dengan hanya beza satu jaringan setelah kesemuanya mengumpul tujuh mata.

Dua lagi pasukan di atas Malaysia iaitu Tajikistan dan Oman juga mengatasi kita dengan beza satu jaringan. Dramatik sungguh penyudahnya, kurang satu jaringan meleburkan segala impian.

Sebenarnya ramai juga lupa, kegagalan Malaysia turut disebabkan oleh kebangkitan lewat permainan Laos ketika menewaskan Filipina 3-2. Filipina mendahului 2-0 pada satu ketika dan jika mereka berjaya mempertahankan keputusan itu sudah tentunya kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Filipina dalam aksi pertama akan terpakai.

Sebagai rekod, keputusan menentang pasukan tangga tercorot kumpulan tidak diambil kira untuk penentuan ranking naib juara, sebagai berlaku adil kepada kumpulan yang mempunyai hanya tiga pasukan ekoran penarikan diri Pakistan pada saat akhir.

Apa sekalipun sebabnya, wujud satu pertikaian, adakah tepat pelaksanaan format oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ini bagi memilih empat naib juara terbaik bagi melengkapkan senarai 16 pasukan yang akan bertanding di pusingan akhir di Bangkok nanti?

Mana tidaknya, selepas keputusan seri 2-2 antara Malaysia dan China, Malaysia perlu mengharapkan sekurang kurangnya tiga perlawanan yang berlangsung selepas itu tidak berkesudahan dengan seri, wajib ada pemenang.

Tetapi apa yang berlaku adalah kesemua perlawanan tersebut berkesudahan seri, bermula dengan keputusan seri tanpa jaringan Iran dan Iraq; Jordan dan Syria (2-2); Arab Saudi dan UAE (1-1); serta Qatar dan Oman (2-2).

Malaysia sudahpun mengetahui nasib mereka selepas aksi Iran-Iraq dan Jordan-Syria, malah keputusan seri dua perlawanan itu juga menyaksikan Iran dan Syria memecah masuk ke kelompok empat naib juara terbaik bersama sama Australia, dan mereka kemudiannya disertai oleh Arab Saudi.

Dengan pasukan perlu bergantung kepada perlawanan kumpulan lain untuk mengetahui nasib, pada masa sama setiap perlawanan itu tidak dilangsungkan serentak, sejauh manakah kita akan dapat menyaksikan perseteruan yang adil, atau dinamakan ‘fairplay’?

Bukankah format ini berpotensi membuka ruang kepada berlakunya manipulasi keputusan perlawanan? Kim Swee turut senada dan dia turut mengharapkan ada penambahbaikkan di masa akan datang.

“Bukan kerana kita tidak layak maka saya bercakap mengenai benda ini, tetapi ia sangat jelas bahawa format sedia ada boleh memberi kelebihan kepada pasukan dari kumpulan lain yang beraksi kemudian. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku, seperti apa yang kita lalui, kita terpaksa tunggu perlawanan kumpulan lain untuk tahu kita akan layak atau tidak.

“Kita dalam situasi wajib menang, begitu juga pasukan lain. Tetapi apabila kita seri, pasukan lain sudah tahu kalau mereka seri sekalipun mereka akan layak sebab mereka sudah tahu kedudukan dalam ranking naib juara siapa di atas, siapa di bawah dana pa keputusan yang diperlukan.

“Jadi ini mewujudkan persoalan adakah mereka akan beraksi adil atau tidak dalam perlawanan terakhir. Saya harap AFC peka dan mengkaji perkara ini,” ujar Kim Swee selepas berakhir pertandingan.

 

Foto : FAM

 

Comments