Kelayakan AFC B-23: Safawi tagih sokongan penyokong, anggap lawan China seumpama final

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Kapten Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Safawi Rasid menagih sokongan padu para penyokong bola sepak Malaysia untuk hadir ke perlawanan terakhir peringkat Kumpulan J dalam kelayakan Kejuaraan AFC B-23 menentang China pada malam esok.

Ketika ini, China B-23 dan Malaysia B-23 terikat 6 mata namun dipisahkan oleh perbezaan jaringan gol dimana anak buah Guus Hiddink mengungguli Kumpulan J dengan rekod 13 jaringan tanpa bolos manakala Harimau Muda 4 jaringan tanpa bolos.

Bagi Safawi, beliau dan rakan-rakan menanam tekad untuk mara ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 yang akan berlangsung pada januari tahun hadapan, di Bangkok, Thailand. Bagaimanapun, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) ini tidak mahu terlalu yakin namun beliau percaya kelebihan bermain di halaman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Kehadiran penyokong yang membanjiri stadium mampu memberikan suntikan semangat tambahan buat para pemain disamping menghadirkan rasa gerun buat pasukan lawan.

“Kami satu pasukan akui aksi bertemu Laos sebelum ini kurang memuaskan. Jadi, kami amat berharap sewaktu bertemu China (malam ini) kami akan beraksi lebih baik daripada sebelum ini.

“Kalau boleh kami mahu layak ke pusingan akhir di Bangkok tahun depan. Nak kata optimis atau tidak, bagi saya, kita mempunyai sedikit kelebihan berbanding China kerana beraksi di laman sendiri dan di hadapan penyokong sendiri.

“Apa pun, kami satu pasukan mengharapkan penyokong dapat memenuhi stadium dalam perlawanan itu nanti kerana bagi kami, aksi bertemu China ini ibarat seperti final. Jadi, kami perlukan sokongan padu anda semua,” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian.

Untuk rekod, skuad Harimau Muda pernah mengalahkan beberapa pasukan besar kalangan negara asia di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee. Dalam Kejuaraan AFC B-23 edisi 2018, Malaysia mengejutkan Arab Saudi 1-0 pada peringkat kumpulan dan mara ke saingan kalah mati.

Ketika temasya Sukan Asia 2018 pula, Harimau Muda mencuri tumpuan apabila menewaskan Korea Selatan yang dibarisi bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min 2-1 di Indonesia. Tidak dilupakan, mereka juga menewaskan UAE B-23 dengan keputusan 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan sebelum bermulanya Sukan Asia 2018 di Stadium Shah Alam.

Foto Kredit: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Comments