Lima Perkara: Jaringan Nik Azli selamatkan aksi hambar Harimau Muda

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pertama kali dalam sejarah, kedua-dua pasukan Malaysia dan Australia bawah 23 tahun (B-23) berentap dalam satu perlawanan persahabatan pra-kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Stadium Shah Alam.

Babak pertama bermula dengan agak mengecewakan oleh Harimau Muda. Beberapa kesilapan mudah oleh pemain-pemain hampir memberikan pihak lawan gol pendahuluan. Memasuki babak kedua, beberapa pertukaran dilakukan. Minit ke-49 Australia berjaya meraih gol pendahuluan menerusi Brandon Wilson. Nik Azli berjaya memastikan Harimau Muda tidak pulang dengan tangan kosong dengan menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan.

1) Syamer Kutty bermain sebagai pertahanan tengah

Satu kejutan dibuat oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pada perlawanan malam ini dengan meletakkan pemain tengah JDT, Syamer Kutty Abba sebagai pertahanan tengah dalam formasi 3-4-3.

Syamer yang cemerlang bermain sebagai ‘midfielder’ ketika mewakili skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF tahun lalu diletakkan disitu (pertahanan tengah) untuk membolehkan Harimau Muda membina permainan dari bawah dengan lebih baik. Namun, permainan yang ditampilkan menentang Australia tidak begitu meyakinkan. Hal ini juga menyebabkan Malaysia gagal mendominasi permainan.

Bagaimanapun, kehadiran Syamer Kutty berjaya memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi menerusi ‘clearance’ dan ‘block’ yang dilakukan beliau terutamanya pada separuh masa pertama.

 

2) Australia B23 mendominasi babak pertama

Sejak wisel permainan ditiup oleh pengadil perlawanan, Australia terus garang melakukan serangan ke arah gawang Harimau Muda yang dikawal oleh Haziq Nadzli. Kelompongan di bahagian tengah membolehkan mereka menguasai lebih 50% pegangan bola dan melakukan banyak percubaan.

Barisan pertahanan juga longgar, dimana Young Socceroos mudah melepasi barisan pertahanan Harimau Muda menerusi kawasan ‘half-space’ dan juga bahagian sayap. Kemudiannya mereka akan melepaskan rembatan terus ke sasaran. Gandingan lima bek ketika bertahanan, tidak mampu menyekat serangan Australia dengan efektif.

Mengikut statistik, sebanyak 7 percubaan berjaya dicatatkan oleh Australia manakala Malaysia hanya merekodkan 1 percubaan pada babak pertama.

 

3) Haziq Nadzli gagal beraksi dengan baik

Sejak sekian lama, beliau menjadi tonggak utama Harimau Muda di posisi penjaga gol. Namun, malam ini menentang Australia, ini bukan aksi yang terbaiknya. Beberapa tindakan yang dilakukannya, hampir-hampir mengundang bolos kepada pasukan negara. Terdapat hantaran-hantaran daripada beliau gagal mencari rakan sepasukan. Babak kedua, Haziq Nadzli ditukarkan kepada Damien Lim.

Harimau Muda juga bernasib baik kerana kesilapan oleh Haziq tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain-pemain Australia untuk memberikan gol pendahuluan pada separuh masa pertama.

 

4) Harimau Muda lebih garang selepas kemasukan Faisal Halim

Penyerang muda Pahang, Faisal Halim dimasukkan oleh Datuk Ong Kim Swee pada babak kedua. Kemasukan beliau berjaya memberikan Harimau Muda beberapa peluang untuk melepasi barisan pertahanan lawan dan melakukan serangan dengan larian-larian pantas oleh pemain kelahiran Pulau Pinang ini.

Faisal sendiri mendapat peluang 1 vs 1 dengan penjaga gol Australia. Selain itu, beliau turut efektif di barisan serangan dengan melakukan hantaran ke bahagian sayap. Boleh dikatakan kemasukan beliau meningkatkan corak permainan Harimau Muda yang agak mengecewakan pada babak pertama.

 

5) Ini hanya perlawanan persahabatan, namun OKS perlu segera baiki kelemahan

Ya, ini sekadar perlawanan persahabatan. Kedua-dua pasukan dilihat menggunakan perlawanan ini untuk mencuba gandingan dan kombinasi pemain-pemain sebelum daripada sepak mula kelayakan Kejuaraan AFC B-23 yang akan bermula pada 22hb kelak.

Namun, kita dapat lihat persembahan Harimau Muda pada malam ini sangat tidak meyakinkan dan hambar. Datuk Ong Kim Swee perlu segera memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti seperti barisan pertahanan yang longgar, kegagalan bahagian tengah mendominasi permainan dan berisan serangan yang tumpul sebelum turun menentang Filipina, Laos dan China. Persembahan hambar oleh beberapa pemain turut perlu diberikan tumpuan.

 

Foto Kredit: FAM

Comments