Player Rating: Jaringan Nik Azli bantu skuad muda Malaysia ikat Australia

Ujian terakhir untuk anak buah Datuk Ong Kim Swee sebelum memulakan saingan kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun. Skuad muda Malaysia dapat menghalang Australia menjaringkan gol yang banyak tetapi sebenarnya turut mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Malaysia yang sukar untuk menyerang di separuh masa pertama memperbaiki corak permainan dan mula menyerang di separuh masa kedua terutamanya selepas Faisal Halim dimasukkan. Kesilapan di benteng pertahanan ketika situasi sepakan penjuru di separuh masa kedua membolehkan Australia membuka jaringan. Tetapi, kerja keras pemain gantian yang masuk di separuh masa kedua membuahkan hasil apabila Nik Azli berjaya menyamakan kedudukan ketika wisel penamat hampir dibunyikan. Keputusan akhir, Malaysia 1-1 Australia. Ini merupakan rating bagi pemain-pemain skuad muda negara.

Haziq Nadzli – 4/10

Selain daripada menghalang gawang daripada dibolosi, Haziq juga diperlukan untuk membuat hantaran kepada pemain serangan dan perlu tenang supaya hantaran yang diberikan tepat. Tetapi ada bahayanya juga apabila Haziq terlalu tenang, dan penyerang Australia, Nicholas D’ Augustino hampir dapat mengambil peluang apabila Haziq terlalu lambat dan santai untuk menghantar bola. Kegopohan D’Augustino menyelamatkan penjaga gol muda ini.

Ariff Ar-Rasydi  Ariffin – 7/10

Jika Syamer memegang peranan Irfan Zakaria, Ariff pula diharap menggalas tugas yang dipegang oleh Dominic Tan di mana dia perlu menjadi pertahanan yang ‘keras’ dan tidak takut untuk mengorbankan badannya untuk menghalang penyerang Australia. Dia bagaikan tidak terjejas dengan asakan fizikal Australia dan dapat memberi cabaran kepada mereka.

Syamer Kutty Abba – 7/10

Adakah Datuk Ong Kim Swee mahu menjadikan Syamer seperti Irfan Zakaria seperti skuadnya tahun lalu? Pastinya tugas Syamer selain daripada membaca serangan pihak lawan, adalah untuk merancang serangan daripada bahagian pertahanan. Berbeza dengan Irfan Zakaria yang mempunyai visi untuk membuat hantaran jauh, Syamer lebih gemar memulakan serangan dari bawah dengan membawa bola ke bahagian midfield. Syamer juga sering membantu Daniel dan Nik Akif mengasak di bahagian midfield.

Shahrul Nizam Ros Hasni – 7/10

Australia nampak bagaikan banyak mensasarkan serangan lebih banyak di sebelah kiri sama ada menerusi larian ataupun hantaran jauh dari sebelah kanan menuju ke sebelah kiri. Nizam banyak membantu Dinesh yang sering diasak dan dia dapat bersaing untuk menanduk bola di udara.

Syahmi Safari – 6/10

Bermain dengan tiga pertahanan, tugasan Syahmi ketika bertahan mungkin sedikit mudah dan dia diharapkan dapat membantu Jafri di sebelah kanan. Syahmi sebenarnya berbahaya jika dia dibenarkan menyerang menerusi hantarannya atau rembatannya. Tetapi asakan Australia membuatkan peluang Syahmi untuk cuba menyerang terbatas. Jika Malaysia mahu menyerang menerusi sebelah kanan, Datuk Ong Kim Swee perlu mencari cara bagaimana untuk membuatkan Syahmi mendapat ruang untuk menyerang.

Daniel Amier Norhisham – 7/10

Diberikan kepercayaan menjadi ketua pasukan bagi skuad muda negara dalam perlawanan ini oleh Datuk Ong Kim Swee. Daniel Amier dilihat beraksi lebih hampir dengan bahagian serangan ketika Malaysia menyerang berbanding Nik Akif yang lebih banyak di bawah. Dengan Hadi yang sering berseorangan di hadapan, peluang Malaysia untuk cuba menyerang dari tengah dan membuat lorongan kepada Hadi, bola perlu banyak diberikan kepada Daniel. Dia juga dilihat tenang ketika mengawal bola biarpun diasak pemain tengah Australia.

Nik Akif Syahiran Nik Mat – 5/10

Bertenaga tetapi terlalu lama mengambil masa untuk membuat keputusan dan hantaran. Beberapa kali Nik Akif mengambil masa yang lama untuk menghantar bola dan membuatkan pemain Australia sempat menutup ruang dan juga menghalangnya. Perlu belajar untuk membuat keputusan dengan segera sebelum menerima bola dari rakan, jika tidak terlalu mudah untuk pasukan lawan membaca apa yang mahu dilakukannya.

R. Dinesh – 6/10

Bagi membolehkan Akhyar lebih menyerang, R. Dinesh perlu menggandakan usahanya ketika bertahan. Dibantu Nizam di belakangnya, Dinesh telah berusaha sehabis baik untuk menahan asakan Australia. Banyak membantu menghalang serangan Australia terutamanya ketika Akhyar kehilangan bola di kawasan sendiri.

Jafri Firdaus Chew – 5/10

Seorang pemain yang rajin, tetapi sayangnya tiada hasil. Jafri seorang pemain serangan yang sepatutnya membantu serangan. Berbeza dengan Akhyar dan Hadi, Jafri tidak banyak memberi pilihan ketika menyerang. Ya, dia banyak membantu bahagian tengah ketika bertahan, tetapi ketika menyerang, Jafri tidak dapat membantu.

Hadi Fayyadh Abdul Razak – 6/10

Dengan penguasaan Australia, hanya Hadi Fayyadh yang lebih menyerang biarpun Malaysia menggunakan formasi tiga pemain serangan. Ketinggian Hadi sering digunakan untuk mengawal hantaran ke depan dan cuba membawa Jafri dan Akhyar untuk sama menyerang. Tetapi bersendirian di hadapan, Hadi sukar menembusi benteng pertahanan Australia tanpa bantuan rakan-rakan.

Akhyar Rashid – 5/10

Selain Safawi, Akhyar antara pemain yang diharap dapat mengucar-ngacirkan benteng lawan bagi saingan kelayakan kali ini. Ada beberapa kali dia berjaya merisaukan benteng pertahanan Australia, tetapi ada masanya dia terlalu lama memegang bola terutamanya ketika berada di dalam kawasan sendiri.

 

Pemain gantian:

Damien Lim – 5/10

Masuk menggantikan Haziq di separuh masa kedua. Perlu lebih lantang dan mengawal bahagian pertahanannya. Juga perlu berani untuk keluar dan mengutip bola.

Evan Wensley Wenceslaus – 6/10

Masuk menggantikan Ariff.  Tidak dapat menghalang tandukan Brandon Wilson untuk gol pembukaan Australia.

Faisal Halim – 7/10

Masuk menggantikan Akhyar Rashid. Pemain yang paling banyak menguji penjaga gol Australia. Larian bijaknya berjaya memperdaya pertahanan Australia tetapi kekurangan penyudah mengecewakan Faisal.

Danial Haqim – 6/10

Masuk menggantikan Nik Akif Shahiran untuk menjadikan gandingan dua Danial di bahagian tengah Malaysia. Mempunyai peluang untuk merembat tetapi terlalu gopoh sehingga melambung rembatannya.

Nik Azli Nik Alias – -/10

Masuk menggantikan Hadi Fayyadh. Menjaringkan gol penyamaan buat Malaysia di penghujung permainan dengan satu jaringan cantik.

K. Thivandaran – -/10

Masuk menggantikan tempat Daniel Amier

Muhammad Izzan Syahmi Mustapha – -/10

Masuk menggantikan Jafri Firdaus Chew.

Nazirul Afif – -/10

Masuk menggantikan Syahmi Safari.

Ahmad Tasnim Fitri – -/10

Masuk menggantikan R. Dinesh

Muhammad Amirul Ashraff Ariffin – -/10

Masuk menggantikan Shahrol Nizam

Hariz Kamaruddin – -/10

Masuk menggantikan Syamer Kutty Abba.

 

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Comments