Tidak perlu panik, rakan kongsi MFL percaya TMJ akan segera cari solusi ketiadaan penaja utama

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Keputusan Malaysia Football League (MFL) mengakhiri kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia (TM) nampaknya tidak sedikitpun menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 24 pasukan Liga Malaysia.

Sebaliknya mereka menganggap tindakan drastik diambil MFL itu pastinya tidak lain untuk kemajuan bolasepak tanah air justeru merasakan tiada keperluan untuk melatah dengan perkembangan tersebut dan yakin MFL akan memikirkan solusi terbaik dalam tempoh terdekat.

Antara yang menyatakan sokongan dan kepercayaan, PKNS FC.

“Sudah tentunya satu penilaian wajar telah dibuat sebelum menamatkan perjanjian dengan TM, PKNS FC menaruh keyakinan yang tinggi kepada Pengerusi MFL, (DYAM Mejar Jeneral) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam usaha mendapatkan penaja baru.

“Lagipun MFL menerusi CEO, Kevin Ramalingam telah memberi jaminan akan tetap mengagihkan geran tahunan dan ia membuatkan semua pasukan terlibat menarik nafas lega, tiada sebab untuk panik.

“Apa yang pasti, PKNS akan sentiasa bersama-sama MFL dalam memastikan sukan bola sepak kekal di landasannya,” kata
Setiausaha Agung PKNS FC, Adi Harmizi Ariffin.

Jumaat lalu, MFL mengumumkan penamatan kontrak tajaan lumayan selama lapan tahun oleh TM yang ditandatangani pada 29 Januari tahun lalu gara-gara kegagalan syarikat telekomunikasi itu menjelaskan bayaran hak penyiaran.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon turut senada dengan Adi Harmizi dan menyatakan kesediaan FAS untuk menghulurkan bantuan sekiranya perlu.

“Memang benar geran tahunan menjadi tanggungjawab MFL tetapi kami sebagai rakan kongsi berpendapat apa yang berlaku kepada MFL turut menimpa kepada kami. Ia bukan masa untuk menuding salah siapa tetapi saya percaya kesemua pemegang taruh mempunyai idea untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu ini.

“Daripada pihak FAS sendiri, kami bersedia bila-bila masa untuk menghulurkan bantuan kepada MFL sekiranya memerlukan bantuan kami tidak kira apa jua aspek,” ujarnya.

Manakala Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar pula menegaskan persatuan itu optimis MFL tidak akan mengambil masa lama menyelesaikan masalah ketiadaan TM selaku penaja utama Liga Malaysia musim ini.

Justeru, Tajul menggesa rakan kongsi MFL agar tidak cepat melatah di sebalik ketiadaan TM dan kekal yakin dengan kepimpinan Tunku Ismail dalam usaha memartabatkan liga tempatan.

“Meskipun agak mengejutkan, pihak PAFA tetap percaya pihak MFL akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian iaitu penaja lain. Kami akan sentiasa memberikan kerjasama kepada MFL dan kita tahu kesukaran yang dihadapi oleh MFL apatah lagi penajaan TM adalah punca pendapatan geran tahunan kepada setiap pasukan namun kita akan memberikan ruang secukupnya kepada MFL mencari dana lain.

“Tidak perlu untuk setiap pasukan melatah dengan situasi ini kerana penamatan kontrak TM oleh MFL itu adalah keputusan terbaik untuk kelancaran liga musim ini,” katanya.

 

Foto : FA Selangor

Comments