Formula 1: Mercedes Catat Kemenangan 1-2 di Australia

Naim Jaya Naim Jaya

Pasukan juara dunia musim lalu, Mercedes berjaya mengekalkan penguasaan dalam perlumbaan pertama musim ini apabila kedua-dua pelumba mereka, Valterri Bottas dan Lewis Hamilton berjaya menaiki podium setelah  menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dan kedua selepas mengharungi perlumbaan 58 pusingan di Melbourne.

Bottas yang gagal untuk memenangi sebarang perlumbaan pada musim lalu berjaya menamatkan perlumbaan kali ini di kedudukan paling hadapan walaupun pada awalnya bermula di belakang rakan sepasukan, Lewis Hamilton di petak permulaan.

Selepas terlepas ‘pole-position’ kepada Hamilton dalam sesi kelayakan yang berlangsung pada Sabtu, Bottas bagaimanapun bermula dengan cemerlang apabila berjaya melepaskan diri di petak permulaan dan mendahului sebahagian besar perlumbaan di seawal selekoh yang pertama.

Penguasaan Bottas dalam perlumbaan kali ini juga agak ketara dengan sebelum ini apabila beliau mempunyai jurang sehingga 20 saat dengan pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya, Hamilton ketika menuju ke garisan penamat.

Kedudukan podium pada perlumbaan kali ini juga menyaksikan ketiadaan pelumba dari Ferrari selepas pelumba Red Bull Racing Honda, Max Verstappen berjaya merebut kedudukan ketiga untuk meninggalkan kedua-dua pelumba Ferrari, Sebastien Vettel dan Charles Leclerc masing-masing di kedudukan ke empat dan lima.  

Kejayaan Verstappen itu turut menyaksikan Honda berjaya menghuni podium buat kali pertama selepas kali terakhir melakukannya di Grand Prix Canada pada 2008.

Walaubagaimanapun, sedikit malang buat bekas pelumba Red Bull yang kini bersama Renault, Daniel Ricciardo apabila gagal menamatkan perlumbaan pembukaan di negara kelahirannya selepas terlibat dalam insiden kecil sewaktu perlumbaan baru sahaja bermula.

Ricciardo yang diasak oleh Sergio Perez (Racing Point) di petak permulaan bagaimanapun sempat untuk melalui 30 pusingan sebelum bersara dari perlumbaan akibat masalah yang dihadapi daripada perlanggaran tersebut.

Bekas juara dunia, Kimi Raikonnen yang kembali membuat kemunculan bersama pasukan lamanya, Alfa Romeo Racing selepas meninggalkan Ferrari pada penghujung musim lalu pula menamatkan perlumbaan di kedudukan ke lapan untuk berada di belakang Kevin Magnussen (Haas) dan Nico Hulkenberg (Renault) di kedudukan ke enam dan ke tujuh..

Pasukan yang dianggap paling bermasalah semenjak sesi ujian pra musim pada awal tahun ini, Williams Racing pula masih gagal untuk menghadirkan saingan apabila kedua-kedua pelumba mereka sekadar menamatkan perlumbaan di dua kedudukan terakhir.

Foto Kredit: F1

 

Comments