Pemilihan Hamidin sebagai Naib Presiden AFF satu penghormatan

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kongres Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) yang bersidang di Siam Reap pada Ahad memilih Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin sebagai salah seorang naib presiden badan itu untuk penggal 2019 – 2023.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, menganggap pemilihan Dato’ Hamidin sebagai satu penghormatan dan kebanggaan buat bolasepak negara.

“Sebagai antara negara pengasas AFF, FAM harus ada suara dalam menentukan dasar dan hala tuju AFF, apatah lagi badan serantau ini berpangkalan di Kuala Lumpur, dengan ibu pejabat baru bakal siap sepenuhnya tahun ini.

“Kami mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota AFF di bawah kepimpinan Mejar Jeneral Khiev Sameth (Presiden AFF) agar AFF dapat membantu ahli gabungannya menaikkan standard bola sepak Asia Tenggara,” kata Stuart yang hadir mewakili FAM di kongres tersebut bersama-sama Dato’ Hamidin dan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal.

Dalam kongres yang kemudiannya disusuli mesyuarat majlis badan bolasepak serantau itu, turut terpilih menjadi Naib Presiden ialah Dato’ Sri Zaw Zaw dari Myanmar yang mempertahankan jawatannya dan Dato’ Sri Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste.

Sebagai rekod, AFF kini diterajui oleh Khiev Sameth dari Kemboja selaku Presiden, menggantikan Sultan Ahmad Shah, yang menolak pencalonan atas sebab-sebab kesihatan. Sameth, yang juga Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Kemboja (FFC), sebelum ini memegang jawatan timbalan presiden AFF.

Sameth menang tanpa bertanding berikutan penarikan diri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

 

Foto : FAM

Comments