Australia B-23 jadikan pertemuan menentang Harimau Muda sebagai ‘medan ujian’

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Penolong jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) Australia, Rene Meulensteen menyifatkan pertemuan menentang Malaysia B-23 di Stadium Shah Alam pada malam ini sebagai medan ujian sebelum menghadapi kelayakan Kejuaraan AFC B-23 pada 22h Mac kelak.

Harimau Muda menjadi pasukan yang tepat untuk beliau menguji tahap kesediaan anak buahnya sebelum bertemu Korea Selatan, Taiwan dan Kemboja dalam Kumpulan H di Stadium Phnom Penh.

Tambahnya lagi, Malaysia menjadi lokasi sesuai untuk melakukan persiapan memandangkan ia mempunyai cuaca yang sama seperti tuan rumah Kumpulan H, Kemboja iaitu panas dan lembab sepanjang tahun.

“Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu dan perlawanan ini penting untuk pemain mencipta kombinasi antara satu sama lain dan kami perlu biasakan diri untuk bermain dalam cuaca panas dan kelembapan yang tinggi.

“Perlawanan ini juga realistik untuk kami melihat di mana tahap permainan kami dan kami berharap dapat melakukan persiapan dengan baik sebelum menghadapi kejohanan Kejuaraan AFC B-23 nanti,” katanya seperti dipetik daripada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, mereka telah mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super, PJ City FC. Dalam perlawanan tersebut, Australia B-23 merekodkan kekalahan 2-0 di tangan PJ City FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam pada selasa lalu.

Walaupun mengalami kekalahan, Rene Meulensteen yang pernah menganggotai barisan kejurulatihan di bawah Alex Ferguson di Manchester United percaya anak buahnya mampu bangkit dan meningkatkan lagi permainan untuk perlawanan-perlawanan akan datang.

“Pasukan ini dibentuk pada Ogos lalu jadi lebih banyak mereka bermain bersama lagi bagus kerana mereka perlu belajar bagaimana mencipta peluang dan menterjemahkannya selain mengawal permainan dengan baik,” katanya lagi.

Foto Kredit: PJ City FC

Comments